Hari Keluarga Isma Temerloh eratkan ukhuwah sesama ahli

REMBAU, 2 April-  Buat julung-julung kalinya Hari Keluarga Isma Temerloh telah diadakan di luar negeri Pahang. Program selama dua hari satu malam itu telah diadakan di Homestay Astana Raja, Rembau, Negeri Sembilan pada 31 Mac 2018 hingga 1 April 2018. Seramai 50 orang ahli Isma Temerloh yang mewakili daerah Temerloh, Jerantut, Bera dan Lipis telah menyertai program tersebut.

Objektif utama program adalah untuk merapatkan ukhuwah sesama ahli dan untuk merapatkan jurang antara generasi muda dan tua. Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan termasuklah memancing, mengocar ikan keli, berkhemah dan barbeku.

Semua peserta tidak melepaskan peluang untuk memancing ikan di kolam yang telah disediakan sebelum para peserta bergotong-royong memasak hasil tangkapan sebagai hidangan makan malam. Antara aktiviti lain dilakukan pada sebelah petang adalah mengocar ikan keli dan bersiar-siar di persekitaran kampung yang cantik.

Aktiviti di sebelah malam diteruskan dengan tazkirah dan sesi taaruf sesama ahli. Pelbagai pengalaman dan cerita dikongsi oleh generasi awal Isma Temerloh yang menjadi panduan berharga buat generasi muda.

Hari kedua diteruskan dengan sesi memancing dan sukaneka untuk anak-anak. Para peserta tidak melepaskan peluang untuk memancing ikan kerana masih belum puas dengan tangkapan pada hari sebelumnya. Sesi memancing yang rata-ratanya dijuarai oleh para ikhwah dijadikan sebagai medan untuk saling bertaaruf dan bertukar-tukar idea sesama mereka. Sesi sukaneka yang dikendalikan oleh akhawat juga berjalan lancar. Anak-anak sangat teruja dengan pelbagai aktiviti sukaneka yang diadakan seperti mencari gula-gula dalam tepung, bawa bola pingpong dalam sudu,lari bawa belon dan isi air dalam botol.

Walaupun program tersebut berjalan dalam masa yang singkat, namun objektif program nyata tercapai. Program ini telah mengeratkan ukhuwah sesama ahli Isma Temerloh dan menjadi dorongan kepada mereka untuk terus beramal di medan masing-masing. Program sebegini akan diadakan lagi pada masa akan datang.

 

Sakinah Yaakob

Biro Media, Isma Temerloh

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *