Hilang sifat malu punca kenyataan tidak beretika Azira Aziz

SHAH ALAM, 19 Mei – “Kenyataan Azira Aziz yang mengatakan laungan azan mesti mendapat kebenaran penduduk adalah petanda hilangnya rasa sifat malu sebagaimana saranan Nabi S.A.W dalam hadisnya yang bermaksud “Apabila kamu tidak malu, maka buatlah apa yang kamu suka”.

Demikian ulasan Ustazah Siti Umi Kalsom kepada hadirin Usrah Umum Wanita yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, malu diertikan oleh ulama’ sebagai menghindarkan diri daripada perbuatan tercela, enggan melakukan sesuatu atau enggan meninggalkannya kerana takut mendapat celaan.

“Jika inilah pengertian malu, maka seruan kepada berakhlak dan beriltizam dengannya merupakan seruan kepada mencegah daripada semua bentuk maksiat dan keburukan.

“Bahkan sifat malu adalah sebahagian daripada kesempurnaan iman,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ustazah Siti Umi Kalsom turut menyifatkan tindakan segelintir umat Islam yang tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang sangat sinis terhadap pengamalan Islam di negara ini perlu dipandang serius.

Bahkan ujarnya, individu terlibat mesti bertaubat terhadap pengucapan seumpama ini kerana bimbang ucapan ini akan menggganggu keimanan.

“Ingatlah bahawa setiap apa yang kita lakukan bahkan setiap kata yang kita lafazkan akan memberi timbangan amalan kita samada baik atau buruk di akhirat kelak.

“Kita tidak hidup selamanya di dunia ini sehingga boleh hebat sombong mendabik dada kerana satu hari nanti, kita pasti akan bertemu Allah membawa setiap kelakuan dan ucapan kita menghadap Tuhan Maha Pencipta, Allah Azza Wajalla,” jelasnya lagi.

Usrah Umum Wanita ialah siri penyampaian ilmu agama khusus kepada kaum hawa yang berlangsung secara mingguan. Antara bahan yang dibincangkan ialah Syarah Hadis 40 Imam An Nawawi, Fiqh Wanita dan tafsir ayat-ayat pilihan. Diharapkan dengan siri kuliah ini akan dapat meningkatkan lagi kefahaman wanita terhadap agama yang tercinta ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *