Hotel Larang Pakai Tudung Tidak Hormat Islam: Wanita Isma

Larangan memakai tudung yang disyaratkan kepada wanita Islam yang bekerja di bahagian khidmat pelanggan oleh sebuah hotel antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini sangat memalukan dan melanggar hak asasi manusia dalam segala aspek.

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)Dr Norsaleha Mohd Salleh berpendapat bahawa larangan ini bukan sahaja mendiskriminasi agama malah jantina juga. Hak wanita Islam untuk bebas dalam mematuhi tuntutan agama Islam telah dinafikan kerana dikatakan bertentangan dengan polisi hotel tersebut. Wanita Islam yang bekerja di bahagian khidmat pelanggan telah dilarang memakai tudung semasa bekerja kerana dikaitkan dengan kerugian pada hotel atas sebab tidak mampu menarik pelanggan.

Perkara 8 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam aspek kesamarataan jelas menyatakan bahawa tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan. Pihak hotel perlu hormati undang-undang ini dan hormati kebebasan rakyat Malaysia apabila beroperasi di sini. Mereka juga disaran mengubah polisi yang telah ditetapkan demi menunaikan hak asasi warganegara Malaysia.

Kenyataan Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee yang dilaporkan mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian daripada polisi antarabangsa adalah amat dikesalkan dan perlu ditarik balik.

Di samping itu, Dr Norsaleha menasihatkan para pengguna dan badan-badan korporat supaya bijak menggunakan kuasa mereka apabila menempah bilik hotel atau dalam menganjurkan sebarang program untuk memboikot hotel-hotel yang mempunyai polisi-polisi yang jelas menafikan hak-hak wanita Islam di Malaysia.

Wanita Isma juga ingin memohon agar Duli Yang Maha Mulia Seri Padukan Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai ketua negara dan ketua agama Islam campurtangan dalam perkara ini kerana ia jelas mendiskriminasi dan menjejaskan penganut agama Islam di negara ini dalam menjalankan tuntutan agama mereka.

 

 

 

 

Dr Norsaleha Mohd Salleh
Ketua Wanita Isma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *