Hubungan erat dengan ahli nadi kepimpinan Abang Zu

Sentiasa iltizam untuk turun padang membantu ahli jayakan program. Itulah komitmen yang disemat oleh Mohd Zuraidi Zakaria kepada diri sendiri sebagai Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Gombak.

Mohd Zuraidi bin Zakaria, atau lebih mesra dengan panggilan ‘Abang Zu’ di kalangan ahli Isma Gombak, merupakan anak jati kelahiran Pulau Pinang. Beliau dibesarkan di Penaga dan kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Modal Insan di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Anak sulung daripada empat beradik ini telah dinobatkan sebagai Pelajar Asrama Terbaik  Peringkat Negeri Pulau Pinang atas kecemerlangan yang ditunjukkan dalam peperiksaan SPM 1994. Beliau juga merupakan pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMKA Al-Irshad, Pokok Sena, Pulau Pinang. Sejak zaman persekolahan lagi sifat kepimpinan beliau sudah terserlah. Antara jawatan pernah disandang beliau adalah pengawas , Biro Perhubungan Persatuan Pelajar Islam dan AJK Asrama Putera di SMKA Al-Irshad, Pokok Sena, Pulau Pinang.

Beliau menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dalam jurusan perakaunan yang juga merupakan kumpulan terawal mahasiswa yang ditempatkan di Kampus Gombak seusai ia terbina. Beliau merupakan salah seorang mahasiswa yang menerima biasiswa dari Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Mohd Zuraidi sangat disenangi oleh masyarakat di kawasan kejiranan beliau, iaitu di Taman Sri Gombak . Beliau merupakan ahli jawatankuasa surau di kejiranan beliau dan terlibat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan terutamanya program-program kelolaan surau dan persatuan penduduk setempat. Beliau kini merupakan Yang-Dipertua (YDP) Isma Gombak dan telah menjawat jawatan tersebut sejak tiga penggal yang lalu iaitu sejak tahun 2012.

Bapa kepada seorang putera dan dua orang puteri ini merupakan seorang insan yang luar biasa. Dalam kesibukan beliau membina kerjaya, beliau terus gigih melaksanakan tanggungjawab menggerakkan Isma Gombak untuk menyampaikan fikrah Islam di samping memberi khidmat kepada masyarakat setempat. Beliau sentiasa turun ke padang melibatkan diri secara langsung bagi menjayakan sesuatu program.

Perwatakan beliau yang mesra dan sering turun padang membantu menjayakan program ini banyak memberi inspirasi kepada ahli Isma dalam beramal kepada masyarakat. Sifat mesra yang ditunjukkan beliau ini  membentuk satu sinergi yang segar dalam kalangan ahli Isma Gombak disamping merapatkan jurang antara pemimpin dan juga ahli. 

Harapan buat generasi muda

Beliau sentiasa menitipkan nasihat kepada generasi muda agar memanfaatkan usia dan waktu dengan menyusun keutamaan dan menguruskan agenda kehidupan agar selari dengan kehendak syariat dan tuntutan dakwah dan mengupayakan potensi diri sebaiknya untuk melakukan kebaikan dan berkhidmat untuk ummah.  Semangat yang membara dan keinginan yang bergelojak harus diseimbangkan dengan kefahaman dan hikmah agar terus bernafas panjang untuk menanggung beban risalah. Beliau sentiasa mengingatkan bahawa tanggungjawab yang terpikul melebihi masa yang ada dan bahawa bebanan yang berat itu boleh diringankan dengan kemanisan ukhuwwah dan sikap sentiasa berlapang dada.

Generasi muda  Isma juga seharusnya tidak mudah menyerah kalah dan terus aktif dalam melakukan kerja-kerja dakwah serta berkhidmat kepada masyarakat. Generasi muda sememangnya mempunyai tenaga yang banyak dan tidak seharusnya duduk berdiam diri tetapi sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti-aktiviti yang dapat membina jatidiri, melengkapkan fikrah Islam agar dapat menyambung kerja-kerja dakwah yang telah dilakukan oleh para salafussoleh dan generasi terdahulu.


O
leh
Mohd Faiq Naquiddin Bin Md Pazin
Ketua Biro Komunikasi dan Multimedia Gombak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *