Hubungan yang jelas antara Rukun Iman dan Baitul Maqdis

PORT DICKSON, 4 Mei – “Pembahasan Baitul Maqdis tidak pernah asing kerana ia berkait rapat dengan akidah Islam. Apabila diteliti keenam-enam rukun iman, semuanya berkaitan dengan Baitul Maqdis,” kata Ustazah Hayati Mohd Zari, JK Biro Tarbiyah Pusat, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dalam program Usrah Wanita di Taman Intan Perdana, Port Dickson baru-baru ini.

Menurut Ustazah Hayati, salah satu tanda keimanan kita kepada Allah adalah meyakini peristiwa Isra’ dan Mikraj seperti yang dijelaskan dalam firman Allah

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (QS. Al-Isra`: 1).

“Beriman kepada malaikat berkaitan dengan turunnya wahyu kepada nabi-nabi yang diutus ke Baitul Maqdis. Bahkan Malaikat Jibril a.s. menjalankan tugasnya mendampingi Nabi Muhammad Saw. selama peristiwa Isra’ Mi’raj.

“Secara jelasnya, peristiwa ini berkaitan juga dengan rukun berikutnya iaitu beriman kepada para rasul. Satu-satunya tempat di atas muka bumi ini yang dijadikan sebagai tempat pertemuan seluruh nabi dan rasul adalah di Masjid al-Aqsa.

“Dari 25 Nabi dan Rasul yang disebutkan dalam al-Quran, 18 diantaranya pernah tinggal dan berdakwah di Baitul Maqdis. Malahan kejadian hari kiamat juga tidak terlepas dari Baitul Maqdis. Dajjal, Ya’juj Ma’juj, turunnya Nabi Isa a.s. dan Yahudi dihinakan Allah semuanya terjadi di Baitul Maqdis,” tambahnya lagi.

Semasa program anjuran Wanita Isma cawangan Port Dickson ini, Ustazah Hayati turut menjelaskan bahawa banyak ketetapan Allah berkaitan dengan Baitul Maqdis. Allah menetapkan Bani Israil berbuat kerosakan dua kali, kemudian mereka akan dihinakan dengan sehina-hinanya, serta Allah menetapkan kemenangan bagi kaum Muslimin di Baitul Maqdis seperti yang dinukilkan dalam ayat 4 dan 5, surah Al-Isra’;

“Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.” (QS. Al-Isra`: 4-5)

Usrah wanita yang telah diadakan sempena Israk dan Mikraj kali ini bukan semata-mata menceritakan perjalanan Rasulullah dalam Israk dan Mikraj, tetapi turut menyentuh realiti umat Islam kini agar kita sentiasa menginsafi kesalahan dan seterusnya memperbaiki diri, keluarga serta masyarakat untuk menaikkan semula Islam dimata dunia.

Diakhir ceramahnya, ustazah Hayati berpesan kepada hadirin yang hadir agar sentiasa meningkatkan keimanan, istiqamah dalam melakukan ibadah seharian supaya bersedia untuk berjuang mempertahankan Islam.

Turut hadir pada program tersebut adalah Puan Kamaliah Abdul Hamid, Ketua Wanita Isma Cawangan Port Dickson.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *