Huffaz Cilik Membuka Lembaran Baru Syukbah Cheras

Cheras, 27 November – Semalam telah berakhirnya program Huffaz Cilik anjuran Kelab NAZIM Kuala Lumpur yang telah berlangsung selama dua hari di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Istimewanya, program ini merupakan program pertama ISMA Kuala Lumpur di Syukbah Cheras dan telah berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ibu bapa dengan penyertaan peserta seramai 67 orang.

Ramai ibu bapa telah memberi maklumbalas positif terhadap program ini, malah ada beberapa yang mengusulkan supaya pihak NAZIM Kuala Lumpur menganjurkan lagi program seumpama ini di masjid-masjid lain sekitar Cheras. Pengerusi Masjid Al-Najihin, Ustaz Mohd Abdul Aziz Mohamed ketika berucap di majlis penutup Huffaz Cilik, turut sama menzahirkan rasa teruja dengan bentuk program Huffaz Cilik dan menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan padu terhadap program-program NAZIM akan datang.

Selain bertujuan untuk mengisi cuti sekolah dengan program bermanfaat, objektif program ini adalah untuk menanam minat peserta lingkungan umur 6-12 tahun untuk menghafal dan mencintai Al-Quran,  memantapkan jati diri peserta agar berakhlak mulia dan berketrampilan serta mewujudkan ruang interaksi yang baik dalam suasana yang soleh.

Pengarah program, Nurul Atiqah Mustaffa berkata, “Tugas kita cuma mendidik dan membantu adik-adik ini untuk menghafal Al-Quran. Tugas ibu bapalah sebenarnya yang lebih utama untuk memastikan anak-anak ini terus istiqamah dalam menghafal Al-Quran. Tiada lain yang dapat saya harapkan melainkan saya mendoakan adik-adik ini akan membesar menjadi satu generasi yang berpegang teguh dengan Al-Quran dan menjadi Mumtaz untuk Ummah!”

 

Syazira Hanis Subri

Wartawan Biro Komunikasi dan Multimedia

ISMA Kuala Lumpur

1 comment

Leave Comment
  1. Ibn Zainal

    Persoalan yang timbul ketika membaca artikel:

    Sejauh manakah komitmen dan pengorbanan yang dibuat oleh peserta dan ahli keluarga utk menjayakan program ini? Ada contoh2 khusus yang boleh dijadikan tauladan dan kepada masyarakat sekeliling? Khusus kepada ibubapa yang mempunyai anak2 kecil?

    Apakah motivasi utama para peserta dan setiap keluarga dan bagaimanakah kesedaran yang sama dapat dipupuk secara meluas kepada masyarakat? Ada contoh khusus yang dapat dikongsikan?

    Mungkin penulis juga boleh berkongsi tips praktikal yg diamalkan/dirancang oleh peserta/ibu untuk terus istiqamah selepas selesai program tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *