i-GURU: Bina masa hadapan masyarakat dengan dakwah & fikrah Islam

iguru 2

JOHOR BAHRU, 11 Jan – Guru-guru Melayu Muslim sebenarnya mempunyai ruang dan peluang yang begitu besar untuk membawa dakwah dan fikrah Islam kepada masyarakat, khususnya murid dan pelajar di sekolah.

Demikian ujar Pengerusi Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) cawangan Johor, Ustazah Nurulhuda Baharin semasa program Bicara Murobbi yang dianjurkan oleh i-Guru cawangan Johor semalam.

Tambah beliau, rata-ratanya persatuan guru yang ditubuhkan di Malaysia hari ini masih belum mampu untuk memainkan peranan dalam mengenengahkan agenda Islam yang sebenar kepada anak-anak didik di sekolah.

Hal ini turut dipersetujui oleh Naib Pengerusi 1 Majlis Guru Besar Daerah Kota Tinggi, Puan Azizah Che Awang, yang juga merupakan Ketua Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Johor.

“Guru-guru perlu mempunyai gambaran yang jelas bahawa sekolah bukanlah sekadar tempat untuk mengajar dan belajar, tetapi ia adalah tempat untuk membina masa depan kerana gurulah antara penyumbang penting kemenjadian pemimpin masa depan,” ujar beliau.

iguru 1

Dalam sesi perkongsian ‘Guru Harapan Ummah’ pula, En Zulkiplee menegaskan bahawa guru memainkan empat peranan penting dalam mendidik iaitu mualim – mengajar dan menyampaikan,  murobbi – memperbaiki dan memimpin, muaddid – mendidik dan murshid – menuntun jalan.

En Zulkiplee turut mengingatkan guru-guru agar menyampaikan ilmu yang bermanfaat kerana ianya dapat menjadi bekalan di akhirat kelak.

“Sentuhlah hati murid sehingga apabila mereka meninggalkan sekolah, mereka masih mendoakan kita,” katanya.

Program yang julung kali diadakan ini membawakan dua slot pengisian daripada dua orang ikon guru yang berpengalaman, iaitu Guru Besar SK Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Puan Azizah Che Awang dan Pensyarah Kolej Vokasional Muar, En. Zulkiplee Hassan dengan tajuk  ‘Kalam Murobbi’ dan ‘Guru Harapan Ummah’.

Program ini dihadiri oleh 30 peserta dari kalangan guru-guru sekolah rendah dan menengah sekitar Johor.

Siti Asmaliza Basuni
Wartawan ISMA Johor