Ibu Bapa Merupakan Guru Pertama Anak-anak

Mendiami sebuah rumah yang serba kekurangan daripada segi fasiliti, sebagai contoh televisyen, menjadikan saya kurang up to date dengan senarai rancangan televisyen yang menjadi pilihan rakyat Malaysia saban hari. Namun bagi saya, ini bukanlah satu kekangan yang membuatkan saya ketinggalan jauh daripada turut cakna dan respon dengan isu-isu semasa. Kala ini, semuanya di hujung jari, bukan?

Satu perkara yang membuatkan saya termenung panjang tatkala berpeluang memegang remote televisyen dan menukar siaran televisyen adalah dengan lambakan program realiti yang melibatkan kanak-kanak sama ada daripada segi nyanyian, tarian, mahupun lakonan. Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan!

Bertambah sedih apabila program-program realiti ini kebanyakannya bersiaran pada waktu puncak dan di hujung minggu. Pastilah akan menjadi pilihan tontonan seisi keluarga, disebabkan kepetahan dan kecomelan kanak-kanak tersebut. Namun, program realiti kanak-kanak berunsur agama, bersiaran disebaliknya.

Dalam zaman globalisasi ini, ibu bapa secara khususnya perlu melihat isu ini sebagai satu isu serius dan mula memikirkan kemenjadian dan hala tuju hidup anak-anak mereka sedari kecil lagi. Berhibur tiada salahnya, namun apa yang dirisaukan adalah hiburan yang berlebihan, melalaikan dan seterusnya memesongkan terus kefahaman anak-anak bahawa hidup mereka bukan setakat untuk mengecap kemewahan hidup dengan memenangai mana-mana pertandingan. Perjalanan hidup mereka masih terlalu panjang dan banyak lagi agenda dan pengalaman hidup yang perlu ditempuh.

Di sini, ingin saya membawa pembaca untuk kembali meneliti semula nasihat yang ditinggalkan oleh Luqman kepada anaknya, yang diabadikan dalam Al-Quran;

  • Jauhi syirik

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.” (QS. Lukman: 13)

  • Berbuat baik dan berbakti kepada kedua orang tua

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu” (QS. Lukman: 14).

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

“Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan” (QS. Lukman: 15).

  • Setiap dosa dan kejelekan akan dibalas oleh Allah

يَا بُنَيَّ إِنَّهَا إِنْ تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ فَتَكُنْ فِي صَخْرَةٍ أَوْ فِي السَّمَاوَاتِ أَوْ فِي الْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ

“(Luqman berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui” (QS. Luqman: 16).

  • Mendirikan solat 5 waktu, amar ma’ruf nahi mungkar dan bersabar dengan ujian

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

“Hai anakku, dirikanlah shalat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)” (QS. Lukman: 17).

  • Ajaran adab ketika berbicara

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri” (QS. Lukman: 18).

  • Bersikap tawadhu’ (rendah diri)

وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ

“Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai.” (QS. Lukman: 19).

Mendidik anak bukanlah satu perkara yang mudah, malahan bermula dengan pemilihan pasangan sedari awal lagi. Kesabaran yang tinggi dan ilmu yang luas sangat penting dalam memandu pasangan untuk mendidik dan membentuk anak-anak mengikut acuan syariat. Berpegang teguhlah, bahawa ibu bapa merupakan sekolah pertama bagi anak-anak. Moga kita sentiasa dipandu olehNya dalam mendidik anak-anak dan melahirkan pejuang dan pembela agama yang tercinta ini.

Norfitriyah Bt Md Ayob
Aktivis Isma Nilai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *