Ijazah tiada erti jika buta Al-Quran

Oleh: Nursyazana binti Jamaludin

JOHOR BAHRU, 26 Mei – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Johor Bahru telah menganjurkan Majlis Tadarus & Khatam Al-Quran Wanita Semalaysia yang disertai sekitar 300 orang peserta di Surau As-Sholawati Hikmah, Desa Mutiara, minggu lalu.

Menurut JK Tarbiyyah ISMA Johor Bahru, Ustazah Suhana binti Abdul Majid dalam ucapan penutup, majlis ini diadakan bukan sahaja mahu meninggikan syiar Islam tetapi hendak membudayakan membaca Al-Quran di kalangan wanita.

Beliau turut berpesan agar para peserta meneruskan aktiviti membaca, bertadarus dan memahami Al-Quran agar ia benar-benar menjadi mukjizat yang dijanjikan Allah.

“Kalau kita semua ingat mukjizat tongkat Nabi Musa sudah cukup hebat, kita kena ingat yang mukjizat Al-Quran itu jauh lebih hebat dengan syarat kita benar-benar membacanya”

Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Wanita Semalaysia ini berjaya dianjurkan atas kerjasama Wanita ISMA Johor Bahru dan HELWA Surau As-Sholawati Hikmah, Desa Mutiara. Ia dihadiri pelbagai lapisan masyarakat dari golongan warga emas, remaja sehingga ke kanak-kanak yang turut memeriahkan suasana.

Puan Fadzilah binti Hashim, Ketua Helwa Surau As-Sholawati Hikmah ketika ditanya berkenaan kepentingan penganjuran program kali ini berkata, “Budaya membaca Al-Quran bahkan menghafaznya sangat perlu ditekankan oleh ibu bapa kerana ia membendung masalah sosial yang berlaku dalam kalangan anak muda sekarang”

“Tidak guna ijazah sekiranya anak-anak kita tak pandai membaca Al-Quran”, katanya lagi yang aktif menggerakkan Surau As-Sholawati Hikmah dengan program keagamaan.

Beliau turut mengucapkan kesyukuran dan penghargaan kerana dapat bekerjasama dengan Wanita ISMA Johor Bahru untuk program kali ini dan berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *