Ilmu, kemahiran dan disiplin perlu ada untuk jadi doktor yang bagus

photo_2015-03-09_14-12-29

Oleh Shuhaimi Shaedon

KUANTAN, 29 Mac – Doktor yang bagus bukan sekadar ditentukan oleh tahap penguasaan pengetahuan dan kemahiran, malah sikap dan disiplin yang betul bagi setiap pengamal perubatan itu juga adalah penting.

Jelas Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Pahang, Dr. Mat Salleh bin Sarif, sikap dan disiplin dalam dunia perubatan penting untuk menjadi seorang doktor yangbagus.

Pada masa yang sama, Dr. Mat Salleh berharap program ini dapat memberi manfaat kepada bakal pengamal perubatan.

“Program-program sebegini diharap dapat membuka mata generasi pegawai perubatan muda hari ini bahawa suasana latihan pegawai perubatan siswazah pada waktu ini sebenarnya jauh lebih baik dan ‘fleksible’ berbanding dahulu,” ujar Dr. Mat Salleh ketika menyampaikan ucapan di program Housemanship Survival Tips (HOST) anjuran Unit MOHSEN (MO-HO section) I Medik Pahang di Hotel Seri Malaysia Kuantan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Setiausaha  Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) cawangan Pahang, Dr. Norbaiyah Mohamed Bakrim berkata, I-Medik Pahang mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini kerana memahami kerjaya sebagai pegawai perubatan siswazah (Housemanship) adalah fasa yang paling mencabar.

“Kemampuan sebenar seorang graduan perubatan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang doktor banyak diuji pada fasa ini. Justeru, bukan sekadar persediaan fizikal, pengetahuan dan kemahiran yang penting untuk mereka, malah persediaan emosi dan mental juga perlu dititikberatkan.

“Setiap jabatan juga pasti akan ada cabaran dan kepayahan tersendiri, namun perlu diketahui bahawa tugas sebagai seorang doktor adalah tugas yang sangat mulia dan segala kesulitan perlu dihadapi dengan tabah serta sikap yang betul,” jelasnya lagi.

Dr. Norbaiyah berharap agar program ini dapat memberi manfaat untuk dikongsi bersama rakan seangkatan mereka yang lain.

Program yang julung-julung kali diadakan di Pahang telah disertai oleh pegawai perubatan siswazah yang akan memulakan kerjaya di Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.

Antara slot yang disediakan adalah sesi beramah mesra peserta bersama Ahli Jawatankuasa I-Medik Cawangan serta sesi sembang santai yang membariskan Dr Mohd Ghadafi Ab Wahab, Dr Zulhilmi Hasif dan Dr Aisyah Badrulhisham iaitu pegawai perubatan yang pernah dan sedang melalui housemanhip di HTAA.

Melalui slot perkongsian tersebut, mereka telah berkongsi tips-tips praktikal bagaimana untuk melalui tempoh housemanship di HTAA dengan lebih bersedia lagi.

Para peserta juga telah mengambil peluang untuk bertanya pelbagai soalan bagi mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai kehidupan sebagai seorang houseman di HTAA nanti.