Ilmu tanpa adab petanda kebodohan

Baru-baru ini media sosial dikejutkan dengan aksi seorang aktivis feminis tegar,  Maryam Lee yang kelihatan bergambar di dalam sebuah masjid dengan pakai menjolok mata.

Ingin saya bertanya, apakah yang saudari ingin buktikan? Adakah adab dan peraturan Islam itu membebankan?. Jika dijawab menggunakan logik akal semata, maka akan keluar pelbagai hujah, menyangkal hikmah tersembunyi yang tidak dapat dibaca oleh mata hati yang mati.

Islam hadir dengan kapasiti yang cukup lengkap, mencakupi segenap aspek kehidupan, hatta sekecil kecil perbuatan. Kita diajar cara terbaik apa yang patut dilakukan, mencontohi peribadi mulia baginda Nabi Muhammad SAW yang menggambarkan itulah sebaik-baik akhlak dan tauladan. Sebagai contoh, adab ketika hendak memasuki rumah. Perlu diberi salam, didahulukan dengan kaki kanan dan pelbagai lagi.

Jika rumah kediaman kita sahaja sudah diajar untuk beradab sopan, inikan pula rumah Allah yang selayaknya dihormati dan disanjungi dengan setinggi-tinggi kemuliaan. Tidakkah anda marah, jika kehormatan anda dijarah atau sebagai contoh, kepala anda ditunjal-tunjal tanpa sebab yang munasabah. Sudah pasti anda akan marah. Kerana itu adalah simbol kehormatan anda yang tidak patut dihina dan direndah-rendahkan. Samalah kiranya jika anda melakukan perbuatan tidak beradab itu  di tempat mulia umat Islam. Rumah Allah bukan tempat bersuka ria, memuaskan nafsu dunia, apatah lagi datang membuat maksiat sebegitu rupa . Itu kurang ajar namanya.

Dan janganlah pula anda menghukum mereka yang marah terhadap perilaku kurang ajar anda itu. Sejujurnya, anda telah memenuhi syarat-syarat dan kelayakan untuk ditegur dan dimarah. Dan perlu diperjelaskan juga, Islam tidak melarang umatnya untuk marah. Terutama sekali yang berkaitan dengan pelanggaran syariat Allah. Berlaku adillah pada nafsu amarah, dan jangan dilupa resepi hikmah dan kasih sayang sebagai perencah . Imam asy-Syafi’i rahimahullah juga berkata: “Barangsiapa yang tidak marah ketika dia sepatutnya marah, dia umpama keldai.”

Mungkin sahaja anda sudah tahu implikasi dan ekspresi yang bakal ditonjolkan umat Islam dek provokasi melampau yang anda lakukan. Maka keluarlah justifikasi menghukum yang bersandarkan nafsu dengan menyatakan Islam itu agama menghukum. Jika di bumi Jogja, anda tidak dihalau, merupakan suatu kenyataan yang tiada bukti munasabah.  Murka Allah tidak pernah diukur atas dasar keduniaan dan penerimaan orang ramai

Akhir kata, bukanlah bermaksud pena yang memberi nasihat ini lebih bijaksana , tetapi cukuplah pengkhianatan yang anda lakukan, menjadi periangatan dan dimuhasabahkan bersama, kerana  kita hanyalah seorang hamba yang tidak pernah berhenti membuat dosa dan kesalahan.

Terima kasih kepada anda, kami belajar sesuatu hari ini.

Muhammad Taqiuddeen Bariman

Aktivis Isma cawangan Johor Bahru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *