Iman belum sebati dalam diri jika belum diamalkan

u fuad
SKUDAI, 27 Mei – Iman masih belum sebati dalam diri jika hanya dilafazkan tetapi belum diamalkan.

Demikian menurut aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Johor, Ustaz Fuad Zaki Hisham ketika menyampaikan tazkirah mengenai ‘Iman yang benar’ semasa program Qiyamullail Perdana di Masjid Al-Jawahir Taman Mutiara Rini, Skudai baru-baru ini.

Memetik takrif ulama’ dalam mendefinisikan iman, Ustaz Fuad menyebut bahawa iman yang benar haruslah merangkumi tiga bahagian iaitu lafaz (syahadah), akidah (membenarkan dalam hati) dan dibuktikan dengan amal ibadah.

Sifat-sifat orang beriman dapat dilihat menerusi beberapa nas Al-Quran dan Hadis, antaranya dalam surah Al-Mukminun ayat 1 hingga 11.

“Dalam surah Al-‘Angkabut ayat 2 dan 3 juga ada menyebut bahawa orang-orang yang beriman pasti Allah akan uji dahulu (keimanan mereka) untuk mengetahui siapa yang benar-benar beriman dan siapa pula yang berdusta,” ujar beliau.

Al-Fadhil Ustaz Fuad turut menyebut bahawa terdapat dua kesan beriman dengan lisan (mengucap syahadah) iaitu kesannya di dunia dan kesannya di akhirat.

“Kesan iman di dunia ialah seseorang yang mengucap syahadah, dia terus masuk Islam. Dia dipelihara darah dan hartanya. Dalam sebuah hadis, ada dikisahkan seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, iaitu Usamah telah membunuh seorang musuh ketika perang yang mengucapkan syahadah lalu Nabi memarahinya.

“Manakala kesan di akhirat ialah sekiranya seseorang itu beriman walaupun dengan hanya sekecil zarah, nescaya dia akan terselamat daripada azab neraka. Tetapi ini tidak bermaksud seseorang itu boleh bermudah-mudah dalam membuat dosa, kerana iman yang benar itu perlu dilafazkan, membenarkan dan diamalkan dengan anggota,” katanya ketika memetik hadis Rasulullah SAW:

“Dari Anas radhiyallaahu ‘anhu bahwa Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Akan dikeluarkan dari neraka orang yang mengucapkan laa ilaaha illallah dan dalam hatinya ada kebaikan (iman) seberat sya’irah. Dan akan dikeluarkan dari neraka orang yang mengucapkan laa ilaaha illallah dan dalam hatinya ada kebaikan (iman) seberat burrah. Dan akan dikeluarkan dari neraka orang yang mengucapkan laa ilaaha illallah dan dalam hatinya ada kebaikan (iman) seberat dzarrah.” HR Bukhari.

Mengakhiri sesi tazkirah tersebut, Ustaz Fuad menyeru agar seluruh kaum Muslimin menghayati ciri-ciri kelazatan iman seperti yang disebut dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim iaitu mencintai Allah dan Rasul lebih daripada segala-galanya, mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan benci terjebak kepada kekufuran sebagaimana seseorang itu benci dimasukkan ke dalam neraka.

ISMA menjalankan pelbagai program berbentuk dakwah dan tarbiyah. Bagi yang ingin menyertai ISMA, layari pautan berikut:

http://bit.ly/ahliisma

Muhammad Rusydi Muhammad Razif
Wartawan ISMA Johor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *