Individu Muslim perlu jaga fizikal, minda, jiwa

Oleh: Mohd Nizam Jumadi

MUAR, 5 April – Tiga aspek penting yang perlu diberi penekanan dalam kehidupan seorang Muslim ialah fizikal, minda dan juga kejiwaan.

Menurut Setiausaha Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Batu Pahat, Dr Muhammad Rusydi Muhammad Razif, ketiga-tiga aspek tersebut wujud dalam diri setiap manusia dan ianya perlu diseimbangkan.

Ujarnya lagi, pelbagai kaedah pendekatan yang boleh diterapkan seperti sentiasa memantau tahap kecerdasan dengan melakukan ujian fizikal secara berkala, memperbanyakkan membaca buku-buku ilmiah dan menjaga amal ibadah.

“Latihan jiwa adalah sama penting sepertimana penjagaan fizikal. Contohnya jika tidak beriadah dalam seminggu, tidak senang badan, begitu juga dengan jiwa. Orang yang tidak membaca Al-Quran dalam masa seminggu, jiwanya sebenarnya berada dalam keadaan gelisah.

“Latih jiwa dengan membaca Al-Quran dan melaksanakan ibadah-ibadah sunat yang lain,” jelasnya selepas pertemuan riadah mingguan bersama mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di universiti tersebut, baru-baru ini.

Dalam sesi yang sama, beliau turut berkongsi mengenai kepentingan mendapatkan keberkatan dalam kehidupan.

“Keberkatan ialah merasa cukup dengan apa yang ada, malah boleh beri manfaat kepada orang lain. Orang yang tidak berkat, kehidupannya tertekan. Dia sentiasa nakkan lebih daripada orang lain dan dengki jika orang lain dapat lebih daripadanya.

“Orang yang berkat hidupnya sentiasa bertawakkal kepada Allah. Allah akan berikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka (ayat 1000 dinar). Punca rezeki lain ialah dengan memperbanyakkan istighfar dan solat dhuha,” kata beliau.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *