Ingat tujuan hidup, jauhi diri dari melakukan kemungkaran

oleh Norlia binti Salleh

KOTA SAMARAHAN, 26 Feb – “Sentiasalah ingat akan matlamat dan tujuan kita diciptakan. Kerana dengan mengingati hal tersebut, kita tidak akan tersasar ke arah yang tidak sepatutnya walau dimana kita berada,” kata Mohammad Thaqif bin Taher, salah seorang daripada panel forum ‘Kamek Harapan Keluarga’ dalam program One Step Closer yang telah diadakan di Saptuyah Homestay, Pasir Pandak, baru-baru ini.

Pada slot itu juga, dia mengingatkan kepada peserta agar mencari kawan yang betul yakni mereka yang akan membawa kepada kejayaan, bukan mereka yang sebaliknya. Kawan-kawan yang baik inilah yang akan membantu kita dalam apa-apa masalah sepanjang berada di alam kampus. Tersilap pilih kawan, maka buruk padahnya.

Mohammad Thaqif bin Taher yang merupakan pelajar UiTM Shah Alam merangkap Pengerusi PEMBINA UiTM Shah Alam berpesan kepada para peserta agar sentiasa ingat akan harapan kedua ibubapa.

Hal ini akan dapat meningkatkan semangat untuk berjaya dalam diri peserta. Sentiasalah berusaha untuk menggembirakan keduanya kerana banyak pengorbanan yang telah mereka berikan kepada anak-anak. Tanpa ibubapa, siapalah kita pada hari ini.

Program anjuran Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) itu juga diadakan slot How To Be Awesome, yang telah disampaikan oleh Amalina binti Anuar, pelajar Sains Sosial (Kajian Khidmat Sosial), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Dalam slot itu, peserta telah didedahkan bagaimana cara untuk tampil dengan gaya professional dan menepati syarak serta cara-cara penyampaian sesuatu maklumat dengan baik.

Turut dilaksanakan pada program tersebut adalah slot Bengkel Halatuju dan Ujian Personaliti yang telah disampaikan oleh Nurfatin Nadhirah binti Abd Rahim. Slot ini diadakan bagi memahamkan peserta tentang personaliti masing-masing serta kerjaya yang sesuai untuk diceburi berdasarkan personaliti yang telah diketahui.

Fatimah Zahra bt Hamzah, seorang daripada peserta mengatakan bahawa, dia amat menyukai program seperti ini kerana memberi banyak input yang berguna serta meningkatkan semangat, keyakinan serta keyakinan diri. Dia berharap agar program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa-masa hadapan.

Turut hadir pada program tersebut adalah Ustaz Abdul Rahman bin Ismail, Yang di-Pertua (YDP) Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Samarahan dan Fara Izmyra binti Muzafar Shah, Setiausaha KRIM Samarahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *