IPEGUAM gesa kaji semula cadangan pindaan Akta 164

IPeguam merujuk cadangan pindaan Akta 164 iaitu Akta Memperbaharui (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang kini mengambil tempat bagi perbahasan di Parlimen. Pindaan ini akan dibaca buat kali kedua pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Akta 164 adalah satu undang-undang yang digubal bagi mengurus tadbir hal ehwal perkahwinan dan perceraian bagi orang bukan Islam. Negara kita telah berhadapan dengan beberapa kes di mahkamah ekoran pemelukan Islam salah seorang daripada pasangan suami isteri bukan Islam. Isu yang timbul menjadi sensasi dan berisiko menggugat keharmonian antara bangsa dan agama, terutamanya dalam hal ehwal perceraian dan hak penjagaan anak-anak dibawah umur 18 tahun.

IPeguam menerima baik tindakan proaktif dari pihak kerajaan bagi menawarkan penyelesaian kepada isu ini. Namun IPeguam berpendapat bahawa pihak kerajaan sewajarnya terlebih dahulu meneliti dan memberi kesempatan kepada pelbagai alternatif lain dengan menjemput pihak-pihak berkepentingan atau “stakeholders” seperti MACMA, Ngo-Ngo Islam, Majlis Agama Islam, Jabatan Kehakiman Syariah dan seumpamanya untuk memberi pandangan dan maklumbalas yang sesuai untuk dipertimbangkan serta mengenal pasti isu keperlembagaan yang mungkin timbul berikutan cadangan pindaan ini. Ini bertujuan agar isu sensitif ini dapat diselesaikan dengan baik dan memenuhi kepentingan serta hak pelbagai pihak sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Isu-isu yang berbangkit

IPeguam menggesa pihak kerajaan untuk mengkaji semula cadangan pindaan Akta 164 yang telah dibentangkan di Parlimen. Gesaan ini didasari beberapa perkara asas dalam memahami dan melaksanakan undang-undang berkaitan;

Pertama, cadangan pindaan tersebut membenarkan perampasan bidang kuasa Mahkamah Syariah ke atas Muallaf samada suami atau isteri yang memeluk Islam, sekaligus menjadi satu undang-undang yang ultra vires Perlembagaan Persekutuan; dan oleh kerana Muallaf samada suami atau isteri yang memeluk Islam akan tertakluk kepada undang-undang sivil iaitu Akta 164, cadangan pindaan tersebut akan menafikan hak-hak Muallaf untuk mendapatkan remedi daripada Mahkamah Syariah;

Kedua, penukaran agama anak-anak di bawah umur 18 tahun oleh ibu atau bapa yang memeluk Islam secara unilateral adalah sah disisi Perlembagaan dan telah dimuktamadkan oleh Mahkamah tertinggi, dan sebarang pertikaian terhadap kesahihan penukaran agama anak-anak tersebut kepada Islam hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah sebagai forum yang sesuai atau “appropriate forum”;

Ketiga, cadangan pindaan tersebut menimbulkan prejudis terhadap kedudukan Islam seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan diiktiraf oleh Mahkamah tertinggi; dan

Keempat, cadangan ini dibuat secara tergesa-gesa dengan mengesampingkan atau “bypass” pihak-pihak berkepentingan yang disebutkan di atas dan juga umat Islam sendiri.

Perampasan bidang kuasa Mahkamah Syariah

IPeguam berpendapat bahawa secara jelas cadangan pindaan tersebut adalah tidak berkeperlembagaan.

Seksyen 3(3) menurut RUU164 tersebut berbunyi:

“This Act shall not apply to a Muslim or to any person who is married under Islamic law …; but nothing herein shall be construed to prevent a court before which a petition for divorce has been made under section 51 from having exclusive jurisdiction over the dissolution of a marriage and all matters incidental thereto…”

Terjemahan secara bebas:

“Akta ini tidak boleh terpakai ke atas seseorang yang beragama Islam atau mana-mana orang yang berkahwin di bawah undang-undang Islam …; akan tetapi tidak ada sesuatu di dalam ini akan dianggap sebagai menghalang Mahkamah yang di hadapannya satu petisyen perceraian telah dibiuat di bawah Seksyen 51 daripada mempunyai bidangkuasa eksklusif ke atas penamatan sesuatu perkahwinan dan semua urusan yang berkaitan dengannya.”

Menurut cadangan pindaan Seksyen 51 Akta 164, pihak yang memeluk Islam juga boleh memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil. Walaubagaimanapun, bagi pihak yang bukan Islam sudah tentu mereka tidak boleh memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, tidak boleh tidak pihak yang memeluk Islam terpaksa berserah kepada bidang kuasa Mahkamah Sivil kerana petisyen perceraian oleh pihak bukan Islam hanya boleh dibuat di Mahkamah Sivil walaupun pihak yang memeluk Islam mempunyai pilihan untuk memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah.

Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa:

“Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) [iaitu Mahkamah Sivil] tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.”

Bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap orang Islam diperuntukan dibawah Jadual Kesembilan, Senarai II, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, Mahkamah Sivil tidak sama sekali mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam.

Namun, cadangan pindaan tersebut bercanggah secara jelas dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini. IPeguam berpendapat bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak boleh diketepikan hanya dengan pindaan terhadap Akta 164 dan pindaan ini boleh dicabar keperlembagaannya.

Keperlembagaan pertukaran secara unilateral tercabar

IPeguam juga berpandangan bahawa cadangan pindaan Akta 164 bagi menyelesaikan kemelut pertukaran anak-anak secara unilateral kepada Islam adalah sama sekali bercanggah dengan peruntukan dan pentafsiran yang telah dimuktamadkan oleh Mahkamah tertinggi negara.

Cadangan pindaan tersebut menambah satu peruntukan baharu iaitu Seksyen 88A yang berbunyi:

“(1) Where a party to a marriage has converted to Islam, the religion of any child of the marriage shall remain as the religion of the parties to the marriage prior to the conversion, except where both parties to the marriage agree to a conversion of the child to Islam, subject always to the wishes of the child where he or she has attained the age of eighteen years.”

“(2) Where the parties to the marriage professed different religions prior to the conversion of one spouse to Islam, a child of the marriage shall be at liberty to remain in the religion of either one of the prior religions of the parties before the conversion to Islam.”.

Terjemahan bebas:

“(1) Di dalam keadaan di mana satu pihak dalam perkahwinan ini telah memeluk agama Islam, agama anak hasil daripada perkahwinan itu akan kekal sebagai agama bagi pihak-pihak yang berkahwin sebelum pemelukan agama Islam, KECUALI di mana kedua-dua pihak di dalam perkahwinan itu bersetuju dengan pemelukan anak itu kepada agama Islam, tertakluk sentiasa kepada kehendak anak tersebut apabila beliau telah mencapai umur 18 tahun.”

“(2) Dalam keadaan di mana pihak-pihak di dalam perkahwinan tersebut menganut agama-agama lain sebelum pengislaman salah satu pasangan, anak daripada perkahwinan itu adalah bebas untuk kekal berada di dalam agama mana-mana pasangan sebelum berlakunya pengislaman tersebut.”

Perlembagaan Persekutuan sedia ada membenarkan pertukaran secara unilateral agama anak-anak kepada Islam berpandukan Perkara 12 dimana:

“(3) No person shall be required to receive instruction in or to take part in any ceremony or act of worship of a religion other than his own;

(4) For the purposes of Clause (3), the religion of a person under the age of eighteen years shall be decided by his parent or guardian.”

Terjemahan:

“(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.”

Berdasarkan petikan daripada cadangan pindaan dan Perkara 12 ini, dapat dilihat percanggahan yang ketara berkenaan keperluan kebenaran bagi pertukaran agama anak-anak dibawah umur 18 tahun.

Isu pertukaran secara unilateral ini juga telah dihadapkan ke Mahkamah tertinggi dan telah diputuskan di dalam kes Shamala Sathiyaseelan v Dr Javaganesh C Mogarajah & Anor [2011] 1 CLJ 568 bahawa perkataan ‘parent’ atau ‘guardian’ merujuk kepada subjek yang tunggal atau ‘singular’. Penterjemahan ini selari dengan Seksyen 6(1) Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 (Akta 351) dan Seksyen 95(b) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang juga menggunapakai perkataan ‘parent’ atau ‘guardian’ serta ‘ibu’ atau ‘bapa’ atau ‘penjaga’ secara respektif.

Penterjemahan yang sama turut diaplikasi oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subashini Rajasingam v Saravanan Thangathoray & other appeals [2008] 2 CLJ 1 yang memutuskan bahawa Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan:

“…must not be read as entrenching the right to choice of religion in both parents.”

Terjemahan bebas:

“ … tidak boleh dibaca sebagai mengukuhkan hak untuk memilih agama pada kedua-dua ibubapa.”

Walaupun sekiranya pengislaman anak-anak di bawah umur 18 tahun secara unilateral menjadi pertikaian, hanya Mahkamah Syariah boleh menjadi forum yang sesuai menentukan pertikaian tersebut samada keperluan atau syarat dan prosedur dibawah Enakmen Negeri berkenaan telah dipenuhi dan dipatuhi.

Dengan ini, IPeguam menegaskan bahawa cadangan pindaan bagi menetapkan syarat kebenaran kedua-dua ibu dan bapa bagi pertukaran agama anak-anak kepada Islam sekaligus membatalkan pertukaran secara unilateral adalah bercanggah disisi Perlembagaan Persekutuan dan mengingkari penghakiman Mahkamah.

Prejudis terhadap Islam dan kedudukannya

IPeguam turut mendapati bahawa cadangan pindaan Akta 164 ini jelas memprejudis Islam dan kedudukannya di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Seksyen 88A yang dinyatakan sebelum ini, ia membawa maksud bahawa hanya pertukaran agama kepada Islam yang memerlukan kebenaran daripada kedua-dua ibu dan bapa, walhal pertukaran agama kepada agama selain Islam hanya memadai dengan kebenaran salah seorang pihak samada ibu atau bapa. Selain itu, subseksyen (2) Seksyen tersebut juga menyebut bahawa seorang kanak-kanak boleh memilih untuk kekal dalam mana-mana agama ibu atau bapa sekiranya ibu dan bapa kedua-duanya menganuti agama selain Islam yang berlainan, namun kanak-kanak tersebut tidak boleh memilih untuk memeluk agama Islam.

Tambahan pula, kesukaran untuk menukar agama anak-anak secara unilateral kepada Islam akan menyebabkan orang bukan Islam memilih untuk tidak memeluk Islam kerana komplikasi yang akan timbul seperti yang telah diperjelaskan sebelum ini, dikhuatiri akan menafikan hak-hak mereka dan turut mencabuli kebebasan beragama mereka.

Perlembagaan Persekutuan secara jelas mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan melalui Perkara 3. Di dalam kes Menteri Dalam Negeri & Ors v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur [2013] 8 CLJ 890, Mahkamah Persekutuan telah menghakimi bahawa:

“It is my judgment that the purpose and intention of the insertion of the words: “in peace and hormany” in Article 3(1) is to protect the sanctity of Islam as the religion of the country and also to insulate against any threat face or any possible and probable threat to the religion of Islam.”

Terjemahan bebas:

“Adalah menjadi penghakiman saya bahawa tujuan dan niat penambahan perkataan: ‘dengan aman dan damai’ dalam Fasal 3 (1) adalah untuk memelihara kesucian Islam sebagai agama negara dan juga untuk mempertahankannya dari sebarang ancaman terhadapnya atau sesuatu ancaman yang mungkin dan boleh berlaku terhadap agama Islam.”

Oleh yang demikian, berdasarkan penghujahan yang telah dikemukakan, IPeguam menegaskan bahawa cadangan pindaan Akta 164 tersebut adalah bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan dan IPeguam menggesa agar pihak kerajaan mempertimbangkan semula cadangan pindaan tersebut bagi memberi laluan terhadap kajian yang lebih mendalam.

IPeguam turut menyeru pihak kerajaan untuk mengambil kira alternatif-alternatif lain dan mendapat maklumbalas dan pandangan dari pihak-pihak berkepentingan bagi menyelesaikan kemelut perundangan ini dengan baik, berkesan dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang menggalakkan amalan beragama secara aman dan damai seperti proses mediasi, pengharmonian antara undang-undang sivil dan syariah serta lain-lain alternatif yang sesuai, berkeperlembagaan dan tidak menimbulkan mudharat kepada akidah dan masa depan umat Islam.

Oleh :

Danial Ariff bin Shaari

Timbalan Pengerusi Ikatan Peguam Muslim Malaysia (IPeguam)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *