Didik anak-anak menerusi teladan

ISAC ISMA-HSI

JOHOR BAHRU, 15 Dis – Didikan ibu bapa kepada anak-anak perlu melalui bimbingan dan teladan (qudwah) yang baik, tidak sekadar memberikan arahan semata-mata.

Munurut Ahli Jawatankuasa Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seremban, Ustazah Nik Norsaha Nik Muhammad ibu bapa juga perlu memantapkan diri dengan ilmu agama serta membudayakan kehidupan dengan acuan Islam sepenuhnya sebelum meminta anak-anak mentaati dan melaksanakan apa yang mereka mahukan.

Tambahnya, apabila sudah ada contoh terbaik dan paling hampir kepada anak-anak di rumah, maka tidak sukar untuk membentuk anak-anak menjadi individu cemerlang yang seterusnya akan menyumbang kebaikan kepada ummah.

“Para bapa umpamanya, perlu memasakkan keimanan yang teguh dalam diri anak-anak sejak kecil dengan cara mereka sendiri terlebih dahulu menjadi individu yang paling taat melaksanakan tuntutan agama,” katanya semasa seminar ‘Ibu Bapa Soleh Anak Cemerlang’ (ISAC) di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru baru-baru ini.

Ustazah Nik Norsaha yang juga merupakan ibu kepada 11 orang anak, turut menyatakan bahawa seorang ibu berkeupayaan mendidik anak-anak dengan sifat keibuan (al-umumah) yang tinggi untuk membangunkan potensi emosi dan rohani anak-anak.

“Ibu berperanan mendidik anak dengan kelembutan hati supaya anak itu kelak dapat menjadi orang yang tegas peribadinya tetapi mudah menitiskan air mata kerana takutnya kepada Allah,” jelasnya.

Program ISAC yang mendapat penyertaan dikalangan ahli-ahli ISMA dan kakitangan HS ini merupakan program kerjasama antara Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Johor dan Hospital Sultan Ismail (HSI). Dr Zainur Rashid Zainuddin, Naib Presiden 1 Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan Ustaz Asmadi Ahmad, Ahli Lembaga Pengarah Mount Safa International School turut memberikan ceramah. 

Siti Nurliyana Saifollah
Wartawan ISMAweb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *