Isma Australia jayakan I-Lead, latih kepimpinan mahasiswa

Isma Australia sentiasa komited untuk melahirkan pemimpin Islam yang berkaliber dan mempunyai nilai agama yang tinggi.Dalam meneruskan usaha ini, Isma Australia telah menjayakan sebuah program yang dinamakan I-Lead, atau singkatannya Isma Australia Leadership & Educational Development, baru-baru ini di Adelaide. Program ini diadakan seiring dengan berlangsungnya program tahunan nasional, KARISMA atau Konvensyen Aspirasi Isma Australia.

Objektif utama Program I-Lead adalah untuk melatih para pelajar khususnya ahli-ahli Isma Australia untuk memimpin sesebuah organisasi disamping melatih cara penyampaian diri di khalayak ramai. Dalam era penuh kerencaman dan masyarakat yang dihimpit dengan pemikiran yang bercelaru, nilai kepimpinan merupakan nilai yang perlu ada pada seseorang pelajar muslim yang akan menerajui pimpinan negara pada masa depan.

Bagi membentuk nilai kepimpinan dalam semua pelajar, terdapat dua komponen dalam Program I-Lead iaitu Seminar Kepimpinan bagi pelajar baru dan Sidang Pemimpin yang dirangka untuk barisan pimpinan Isma Australia.

Seminar Kepimpinan memperkenalkan memperkenalkan kepada pelajar baru teknik berucap di khalayak ramai dengan penuh yakin disamping memberi teori-teori pengurusan diri. Sidang Pemimpin pula memberi platform kepada para pemimpin Isma Australia untuk merangka strategi dan penyusunan organisasi agar Isma Australia kekal relevan kepada masyarakat Malaysia Australia.

Program tahunan ini dihadiri oleh ahli-ahli Isma Australia daripada kesemua empat cawangan negeri iaitu New South Wales, Queensland, Victoria dan South Australia. Penyertaan ahli-ahli Isma dari seluruh Australia merapatkan lagi hubungan sesama kepimpinan negeri dan juga di tahap nasional bagi membentuk persefahaman dan budaya kerja yang lebih berkesan. Hasil diskusi ahli-ahli Isma Australia, pelbagai idea-idea baru dijana bagi menambah baik gerak kerja dan penyusunan organisasi.

Program seumpama I-Lead ini dijangka dapat membentuk mahasiswa dan mahasiswi Muslim yang mempunyai visi dan misi yang jelas berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Isma Australia berpendapat, program ini akan dapat melahirkan golongan pemimpin yang berketrampilan, berkaliber serta memiliki sahsiah mukmin yang sejati, seterusnya, berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

 

Irfan Bin Alias
Ahli Biro Komunikasi dan Multimedia
Isma Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *