Isma Australia: Kemerdekaan sebenar adalah menjadi hamba Allah

Alhamdulillah, pada 31 Ogos tahun ini seluruh rakyat Malaysia menyambut hari yang bersejarah buat kita semua. Hari yang menandakan bahawa bumi Malaysia yang bertuah ini, telahpun bebas daripada belenggu penjajahan kuasa luar. Pada 31 Ogos 2017, seluruh rakyat Malaysia akan menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke-60 dan sewajarnya kita berasa syukur dengan nikmat ini. Kerana tanpa nikmat ini, kemajuan material mahupun sosial yang Malaysia berjaya kecapi hingga ke hari ini, hampir mustahil untuk dicapai.

Apabila kita menyebut mengenai perjuangan kemerdekaan, ramai dalam kalangan individu terutamanya para belia, merasakan hal ini tiada kena-mengena, mahupun berkait dengan diri mereka. Mereka  merasakan bahawa ‘perjuangan’ mereka hanyalah mendapat segulung ijazah ataupun kelayakan akademik semata-mata. Tak dinafikan juga perjuangan yang tidak bermanfaat seperti memperjuangkan budaya berhibur secara melampau (hedonisme) , ideologi-ideologi dan fahaman sesat yang bercanggah dengan aqidah dan agama Negara.

Ramai yang mentafsirkan kemerdekaan itu sebagai bebasnya kita daripada belenggu penjajah, dan persoalan cliché yang biasa kita dengar pula, “Memanglah Malaysia sudah merdeka, tapi adakah Malaysia sudah betul-betul merdeka?” Saya tidak nafikan bahawa pentingnya untuk kita faham erti kemerdekaan yang sebenar dan penting juga untuk kita sentiasa melakukan refleksi terhadap persoalan sebentar tadi. Tetapi saya ingin bawa kita memahami kemerdekaan dalam konteks yang berbeza.

“Kemerdekaan yang sebenar adalah bilamana kita betul-betul menjadi seorang Hamba!”

Ya, betul. Anda tak salah baca. Bilamana kita menjadi seorang hamba Allah yang sebenar, maka itu adalah setinggi-tinggi kemuliaan dan kebebebasan. Satu surah yang cukup pendek, surah Al-ikhlas, yang menjadi surah pilihan kita dek kesuntukan masa untuk menunaikan kewajipan harian, memberikan satu pengajaran yang cukup besar dalam kita ingin mendalami erti sebenar kemerdekaan. Firman Allah SWT dalam ayat 1, surah Al-ikhlas yang bermaksud, “Katakanlah: Tuhan itu Satu (ahad)”, menjelaskan kepada kita bahawa matlamat hidup dan tujuan hidup kita adalah semata-mata kerana Allah SWT dan Dialah satu-satunya dalam hidup kita, dan tiada siapa setandingNya.

Dalam surah Al-ikhlas, Allah SWT telah menciptakan kita dengan pengetahuan dan kefahaman mengenai diriNya, tetapi bilamana kita hilang Allah sebagai matlamat hidup kita, secara tidak langsung kita akan mencari ‘pengganti’ matlamat hidup kita. Ada manusia yang menjadikan harta dan kerjaya sebagai matlamat hidupnya. Pagi, petang, siang dan malam dalam rutin hariannya adalah untuk buat duit dan kejar promosi jawatan, sama ada secara halal mahupun haram. Ada pula yang menjadikan hawa nafsu sebagai matlamat kehidupannya. Fokus utama dalam hidupnya adalah untuk memuaskan nafsunya, sama ada nafsu berhiburnya dengan bermain video game dan tengok movie dari petang hingga ke malam, ataupun nafsu seks dan sebagainya. Ada juga yang menjadikan akalnya sebagai matlamat kehidupan ataupun tuhannya. Mereka akan memperjuangkan logik akal mereka dan ideologi-ideologi yang bertentangan dengan Islam secara bersungguh-sungguh.

Bilamana kita hilang Allah dalam kehidupan, kita akan cari matlamat lain dan kita akan bermati-matian mengejarnya. Namun, bilamana kita jadikan Allah sebagai satu-satunya matlamat kita, maka secara langsung kita akan bebas daripada memperhambakan diri kita kepada harta, nafsu dan juga pangkat. Kita akan bebas daripada menjadi hamba yang diperhambakan. Kita akan jadi insan yang mulia, yang hanya memperhambakan dirinya kepada Tuhan yang selayaknya disembah. Maka itulah yang kita ingin faham daripada kemerdekaan kali ini. Bilamana rakyat, masyarakat dan negara hanya tunduk dan patuh kepada Allah SWT, maka pada saat itu, kita benar-benar merdeka pada sudut pandang Rabbal ‘alamin.

Maka apabila kita faham konsep ini, secara tidak langsung, perjuangan Negara merdeka ini bukan sekadar tanggungjawab ahli politik sahaja, bahkan ianya tanggungjawab setiap lapisan masyarakat, terutamanya para belia yang bakal mencorak masa depan negara ini. Perjuangan ini adalah perjuangan kita semua. Hassan Al-Hudaybi, Mursyidul Am kedua Ikhwanul Muslimin pernah menyebut, “Tegakkan Islam itu dalam diri kamu, nescaya ia tertegak dalam negara kamu” dan itulah yang ingin saya sarankan di sini. Mungkin ada yang terfikir, “Aku mahasiswa sahaja, apa yang aku boleh buat?” Ya, betul, memang tak banyak yang kita boleh buat, tapi satu perkara yang saya yakin setiap belia di Malaysia mampu lakukan, adalah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Berusaha pada setiap detik untuk menjadi mukmin yang lebih baik. Berjuang dan bermujahadah untuk menyingkirkan matlamat-matlamat selain Allah SWT dalam hidup kita melalui pentarbiyahan diri yang syumul dan tersusun. Percayalah, dengan usaha ini, kita akan terus merdeka hingga matahari terbit di ufuk barat.

Izzat Bin Roslan
Ketua Jawatankuasa Negeri Queensland, Isma Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *