ISMA Australia lancar Unit Kajian, bukti kesungguhan ISMA perkasa potensi mahasiswa luar negara

SYDNEY, 29 Muharram 1439 – Persidangan Agung Tahun (AGM) ISMA Australia bagi peringkat negeri cawangan New South Wales 2017 menyaksikan penubuhan unit baru iaitu unit kajian dalam memastikan gerak kerja yang lebih tersusun dan profesional.

Objektif penubuhan unit ini adalah untuk menyediakan satu platfom bagi menampilkan kebolehan ahli-ahli ISMA Australia dalam bidang kajian kepada masyarakat umum Australia. Selain itu, unit ini berfungsi menyalurkan maklumat dan menjawab segala kecelaruan yang ada terhadap pelbagai aspek kehidupan seorang Muslim di luar negara.

Melihat kecairan identiti masyarakat Melayu Muslim di Australia, unit kajian Australia menetapkan visi yang jelas iaitu untuk menjadi tempat rujukan isu-isu semasa kepada masyarakat Malaysia Australia pada tahun 2020.

Salah satu kajian pertama yang dilakukan adalah “Menjejaki Lokasi-Lokasi Baitul Hikmah menerusi proses pemetaan dan buku-buku sejarawan Kerajaan Abbasiah” dan dibentangkan oleh Ketua Unit Kajian Isma Australia, saudara Irfan bin Alias yang juga merangkap ketua biro komunikasi dan multimedia bagi negeri New South Wales. Dalam kajian tersebut, beliau berharap, mahasiswa Australia dapat mengambil iktibar daripada kesungguhan pemuda zama Abbasiah yang gigih mencari ilmu dan hidup mengikut acuan Islam yang syumul.

Dalam pembentangan tersebut, saudara Irfan berharap, lebih ramai ahli-ahli ISMA Australia yang berkebolehan dan kesungguhan tampil untuk menulis dan mengkaji kehebatan-kehebatan tamadun Islam terutamanya ketamadunan Islam Melayu lama seperti Kerajaan Melaka.

 

IMRAN HARITH BIN AZMY
Ketua Biro Komunikasi dan Multimedia ISMA Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *