Isma Australia sahut 7 ikrar Kempen Kemerdekaan Anak Muda 2017

Setelah meneliti 7 ikrar yang menjadi seruan Pemuda Isma Pusat, Isma Australia menyokong secara penuh semua seruan ini kerana inilah yang sepatutnya menjadi asas agenda setiap rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik.

1. Mengikat diri dengan akidah Islam yang sejahtera serta menolak isme-isme yang bertentangan dengannya.

Kami melihat bahawa golongan muda khususnya mahasiswa masa kini lebih gemar dan cenderung dengan pelbagai ideologi-ideologi yang bercanggah dengan Islam. Mereka lebih yakin dengan ideologi-ideologi barat yang bercanggah dengan syarak berbanding dengan syariat Islam.

Sebagai sebuah cawangan Isma luar negara, Isma Australia telah menyaksikan pelbagai kerosakan yang dihadapi oleh mahasiswa di sini. Antaranya ialah kerosakan akhlak, jati diri dan prinsip khususnya apabila berdepan dengan pelbagai kejutan budaya.

Memang bangsa dan negara lain ada kelebihan mereka sendiri tetapi ambillah yang jernih dan buanglah yang keruh. Ramai yang mudah ‘cair’ apabila negara dan bangsa lain kelihatan lebih gah dari kita akhirnya akan turut terikut-ikut dengan budaya-budaya dan isme-isme yang negatif masyarakat setempat.

2. Meningkatkan pengupayaan kendiri untuk mengembalikan peranan anak muda dalam masyarakat.

Anak-anak muda perlu mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan lantang memperjuangkan perkara-perkara yang akhirnya akan menguntungkan Islam dengan cara-cara yang bertepatan dengan syarak.

Tindakan anak-anak muda tidak seharusnya berlandaskan ketaksuban dan dengan cara yang salah seperti menabur fitnah, bercakap kosong dan keganasan.

Dengan cara ini sahajalah peranan anak muda dapat dikembalikan selain menyumbang kepada pembangunan negara serta kemegahan agama dan bangsa.

3. Menerokai bidang ilmu yang menjadi sumber pembangunan ketamadunan Islam di tanah air.

Anak-anak muda khususnya mahasiswa perlu bersungguh-sungguh dalam menerokai bidang ilmu yang diceburi walau apapun tahap kecerdasan dan kepandaian diri. Semangat juang yang tinggi dalam berjihad menuntut ilmu akan membantu diri, bangsa dan agama pada masa yang akan datang.

Kita perlu meletakkan visi bahawa orang-orang Melayu Islam akan menjadi pelopor kepada pelbagai bidang ilmu yang baru serta mendominasi segala bidang ilmu yang sedia ada. Oleh itu, letaklah sasaran yang tinggi dalam bidang yang kita ceburi.

4. Menyuburkan semangat patriotisme, cinta dan bangga akan agama, bangsa dan tanah air.

Jiwa anak-anak muda merupakan jiwa yang paling bersemangat. Oleh itu, golongan inilah yang patut menjadi golongan yang paling hebat semangat patriotismenya.

Sikap bersangka baik dan izzah kepada bangsa sendiri sangatlah penting untuk menggerakkan bangsa Melayu ke arah kegemilangan. Golongan muda masa kini terutamanya yang menuntut di luar negara rata-ratakanya sudah pudar atau hilang sifat-sifat ini malah ramai yang malu dengan identiti bangsa sendiri, Tidak hairanlah jika ditakdirkan menjadi pimpinan tinggi negara kelak, akan hanya merosakkan bangsa.

Kita harus sedar bahawa bangsa lain memandang tinggi pada bangsa Melayu malah ramai yang masih meletakkan harapan yang tinggi kepada bangsa Melayu untuk dikejutkan untuk menjadi pembela dunia Islam satu hari nanti.

Inilah satu contoh semangat patriotisme yang terpuji.

5. Menyokong dan mendukung usaha berterusan berlandaskan undang-undang dan perlembagaan negara dalam terus mengukuhkan kedaulatan tanah air.

Anak-anak muda seharusnya menguasai selok-belok sejarah bangsa dan negara dengan memperbanyakkan bacaan yang berkaitan dengan sejarah dan perlembagaan negara di samping bacaan-bacaan bidang yang diceburi.

Sikap tidak endah dan tidak peka terhadap sejarah silam bangsa serta isu semasa hanya akan mengundang kebinasaan. Tidak hairanlah jika ada ramai anak muda Melayu Islam masa ini tidak minat untuk berjuang mempertahankan perkara-perkara penting di dalam perlembagaan seperti agama Islam, bangsa Melayu dan Bahasa Melayu tatkala dicabar.

Akhirnya, walaupun pada bilangannya kita adalah majoriti tetapi hakikatnya akan mudah tewas apabila digertak musuh yang sedikit bilangannya.

6. Mengangkat martabat dan peranan anak muda Melayu dalam membangunkan negara.

Anak-anak muda perlu sedar bahawa mereka ada agenda dan tanggungjawab yang besar, iaitu membangunkan negara. Kita perlu tinggalkan segala perkara-perkara yang melekakan dan merugikan.

Anak muda mesti menjadi tunjang kepada kebangkitan Islam dan Melayu di Malaysia.

Kita boleh bermula dengan langkah yang kecil dengan melibatkan diri dengan persatuan-persatuan dan program-program yang bermanfaat dan menguntungkan agama dan bangsa.

7. Berpegang kepada politik kenegaraan berteraskan idea perubahan yang selari dengan ajaran Islam.

Langkah yang besar yang anak muda boleh lakukan ialah untuk berdaftar mengundi bagi yang layak dan keluar mengundi apabila tiba masanya. Pilihlah pemimpin yang akan memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Buangkan segala semangat ketaksuban jahiliyyah dan buatlah pertimbangan mengikut neraca syarak.

Kami juga ingin menyeru supaya mahasiswa yang sedang menuntut di luar negara untuk mengambil bahagian dalam menyumbang dalam melakukan perubahan negara, iaitu berdaftar dan mengundi untuk pilihanraya umum yang akan datang.

Konklusi

Akhir sekali, kami berharap agar anak-anak muda Islam dari pelbagai latarbelakang budaya dan fahaman ideologi politik dapat menyahut ketujuh-tujuh seruan Pemuda Isma ini dalam usaha untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh kepada dunia.

IMRAN HARITH BIN AZMY
Ketua Penerangan Isma Australia
Ahli Jawatankuasa Pusat Isma Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *