ISMA DHL dan Masjid Ar-Redho Sepang anjur Forum ‘Rasulullah Qudwah Kekuatan Ummah’

isma dhl maulid

Oleh Nur Syuhada Mohd Ataa

SEPANG, 30 Dis – Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Daerah Hulu Langat (Isma DHL) dengan kerjasama Kelab NAZIM, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik), Pusat Komuniti Isma Sepang dan pihak jawatankuasa Masjid Ar-Redha, Sepang telah mengadakan pogram sempena Maulidur Rasul, minggu lalu.

Antara yang menarik adalah Forum ‘Rasulullah Qudwah Kekuatan Ummah’ yang dibarisi ahli panel Dr Noor Azizi Ismail, Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dr Mohd Ihsanuddin Abas, Pensyarah Perubatan Pelatih Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Muhammad Hanafi, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaku moderator pada malam tersebut.

Menurut Dr Noor Azizi, belum ada dalam mana-mana sejarah tokoh di seluruh dunia yang sehebat dan setanding Rasulullah.

“Rasulullah telah menjadi qudwah atau teladan dari sejak baginda kecil sehingga wafat sebagai pemimpin agung dunia. Rasulullah juga hebat dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara.

“Sebagai contoh, Rasulullah sangat lembut terhadap kanak-kanak dan apabila di medan perang, Rasulullah juga yang paling gagah dan berani,” ujarnya.

Selain itu juga, antara isi menarik yg dikongsi oleh Dr. Mohd Ihsanuddin berkenaan qudwah baginda yang umat pada hari ini terlepas pandang ialah dari aspek kesihatan.

“Umur baginda ketika menerima wahyu pun sudah mencecah 40 tahun. Bayangkan betapa kuat dan sihatnya Rasulullah walau di usia sebegitu,” ujarnya.

Menurutnya, perkara ini adalah satu muhasabah untuk rakyat Malaysia yang belum mencecah 30 tahun sudah menghidapi pelbagai penyakit akibat gaya hidup  dan pemakanan yang tidak sihat.

“Oleh itu, marilah kita bertanya kepada diri sendiri, bagaimanakah kita mahu memimpin umat ini jika kesihatan diri sendiri tidak dijaga?,” katanya.

Antara aktiviti lain adalah ‘Eksperimen Sains’ dengan anak-anak qariah Masjid Ar-Redha yang dikendalikan menggunakan modul Raudhatul Huffaz, pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *