Isma Gesa Kerajaan Pertimbang Wanita Kerja 5 jam sehari

Wanita Isma menyambut baik langkah CIMB Bank mengambilkira akan pentingnya peranan bapa apabila berlakunya kelahiran anak terutama anak sulong. Peranan bapa seringkali diabaikan sedangkan bapa adalah elemen penting dalam tumbesaran seorang anak.

Antara lain peranannya ialah memberi sokongan emosi dan moral kepada isteri yang baru bersalin serta membantu isteri menjaga bayi yang baru lahir. Di samping itu, ini dapat mengurangkan stress dan mengelakkan kemurungan selepas bersalin yang boleh membawa akibat yang buruk kepada ibu dan anak.

Adalah diharap agar para bapa yang diberikan peruntukan cuti sebulan bergaji ini dapat bersama berkongsi tanggungjawab keibubapaan menyambut kelahiran anak dan tidak menyalahgunakannya untuk urusan lain.

Umum mengetahui bahawa wanita merupakan lebih kurang separuh daripada penduduk di Malaysia dan gigih menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. Penglibatan wanita dalam sektor kerja adalah 53.6 peratus iaitu antara yang terendah di Asia Tenggara sedangkan ramai yang mempunyai kepakaran dan boleh menyumbang.

Oleh itu, Wanita Isma ingin menyeru majikan agar mempertimbangkan waktu bekerja untuk wanita dengan mengurangkan tempoh bekerja daripada 8 jam kepada 5 jam sehari tanpa menjejaskan kedudukan dan pangkat atau senioriti mereka. Ini supaya ibu-ibu dapat menjaga dan mendidik anak-anaknya sebaik mungkin tanpa merisaukan tentang jawatan dan gaji mereka.

Selain itu, kami juga ingin mencadangkan agar para majikan memberikan elaun khusus untuk wanita yang menghantar anak ke nurseri dan yang mengambil pembantu rumah untuk menggalakkan wanita kembali bekerja setelah cuti bersalin.

Dengan itu, kami ingin menggesa pihak kerajaan amnya dan para majikan khususnya agar mencontohi langkah-langkah yang diambil oleh CIMB Bank di samping mengambilkira cadangan-cadangan kami untuk memudahkan wanita menyeimbangkan tugas dan tanggungjwab di rumah dan di tempat kerja dan agar tidak melupakan hakikat bahawa fungsi asal wanita adalah bersama suami dan anak-anak.

Dr Norsaleha Mohd Salleh

Ketua Wanita

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *