Isma Gombak beri sumbangan Bakul Ramadan ringankan beban pesakit hospital

Oleh Syarifah Aisyah

Selayang, 18 Mac – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Gombak telah menyampaikan sumbangan Bakul Ramadan kepada pesakit-pesakit di Hospital Selayang pada hari ini.

Program Bakul Ramadan yang dikendalikan di bawah Biro Wanita Isma Gombak adalah program tahunan yang dijalankan pada setiap Ramadan untuk meringankan beban pesakit yang berada di hospital.

Ketua delegasi di Hospital Selayang diketuai oleh Encik Zuraidi bin Zakaria yang juga merupakan Yang Dipertua (YDP) Isma Gombak. Program ini turut disertai oleh ahli jawatankuasa Isma Gombak bersama wakil I-Medik Selangor, Dr Abdul Rahman bin Dasuki.

“Program Bakul Ramadan ini merupakan salah satu aktiviti yang dilaksanakan oleh Isma Gombak untuk memberi khidmat kepada orang awam. Diharapkan sumbangan ini dapat memberi keceriaan dan meringankan beban mereka yang ditimpa musibah, khususnya bagi mereka yang tidak dapat meraikan aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman,” kata Encik Zuraidi.

Sumbangan berbentuk barang keperluan asas seperti minyak, tepung, biskut, gula, beg sekolah, duit raya dan lain-lain adalah hasil kutipan sumbangan ahli Isma dan orang ramai.

Pada hari yang sama, turut berlangsung serahan Bakul Ramadan di Hospital Ampang yang diketuai oleh Encik Ashraf Hakim Zulkarnain bin Azman yang merupakan Pengerusi Kelab Remaja Isma (KRIM) Gombak. Turut bersama beliau adalah barisan ahli jawatankuasa dan sukarelawan KRIM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *