ISMA Ipoh bawa masyarakat telusuri sejarah tempatan

Oleh Siti Nur Shuhadah

IPOH, 26 Ogos – Slot Bicara Sejarah yang diadakan di gerai Isma Ipoh pada program Hari Tanpa Kereta (CFD) semalam membawa orang ramai meneroka sejarah Ipoh dengan tajuk “Sejarah orang Melayu di Ipoh”.

Menurut penyampai, Encik Nor Hisham Zulkiflee, orang Melayu dan orang Asli merupakan perintis masyarakat pertama di Ipoh yang menetap di kawasan yang mempunyai sungai, contohnya penempatan di Kampung Kucai dan Kampung Kepayang.

Nor Hisham yang merupakan Setiausaha Persatuan Warisan Perak berkata, ibu negeri Perak pada asalnya adalah di Pengkalan Pegoh pada tahun 1871.

“Pada waktu itu, daerah Kinta menjadi tumpuan pembesar-pembesar Melayu kerana kekayaan hasil bijih timahnya dari Kampar hingga ke Tanjung Rambutan.”

“Pada tahun 1883 pula, sepucuk surat aduan telah diterima di Pejabat Daerah Batu Gajah yang ditulis oleh 15 orang peniaga Melayu. Ini jelas membuktikan bahawa masyarakat Melayu pada waktu itu bukan hanya menjadi pelombong atau petani, malah mereka juga berniaga,” ujarnya.

Tambah Nor Hisham lagi, nama sebuah jalan di pekan Ipoh yang dahulunya dikenali sebagai Lorong Panglima telah ditukar kepada nama Concubine Lane oleh masyarakat Cina. Papan tanda yang pada asalnya mempunyai tulisan jawi turut diturunkan dan dibuang elemen jawinya.

“Saya berharap agar kita sedar dan pelihara warisan ini agar generasi akan datang tahu tentang sejarah awal Melayu yang telah membangunkan Ipoh suatu masa dahulu ” tegasnya.

Turut dijalankan pertandingan sukan rakyat anjuran Wanita Isma Ipoh seperti congkak, batu seremban, boling kelapa, dan banyak lagi.

CFD merupakan sebuah program anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), yang diadakan setiap hari Ahad minggu terakhir setiap bulan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *