Isma Jepun: Elegant Ladies Snow Adventure (ELSA)

Oleh Sharina Salahudin

SHIGA, 29 Disember 2019: Program musim sejuk Elegant Ladies Snow Adventure (ELSA) bertemakan permainan snowboard anjuran Isma Jepun telah diadakan pada 29 Disember 2018 di Hakodateyama Ski Resort, Shiga.

Hampir 30 orang mahasiswi dari pelbagai universiti di Jepun telah menyertai program ini.

Program ELSA ini bukan sekadar bermain snowboard malah diselitkan juga dengan pengisian bertajuk “Akhlak Wanita Solehah” yang disampaikan oleh penceramah jemputan khas, Norhidayah Ismail, jurutera senior di sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka, merangkap Naib Pengerusi Biro Luar Negara Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Semasa slot pengisian, penceramah telah berkongsi tentang tiga akhlak penting yang perlu ada pada diri seorang wanita solehah iaitu haya’ (pemalu), ‘iffah (menjaga maruah) dan hilmi (lemah lembut) yang telah dibuktikan melalui surah-surah dalam Al-Quran seperti surah An-Nur dan Al-Ahzab.

“Saya berasa seronok mengikuti program ini kerana dimulakan dengan sesi pengisian sebelum bermain. Saya tidak mengikuti usrah di Jepun, jadi bila mendengar pengisian sebegini saya dapat merasai bagaimana suasana usrah dijalankan”, kata Nur Maisarah binti Mazlan, salah seorang peserta yang juga merupakan pelajar tahun ketiga di Ritsumeikan University di Shiga.

Program diteruskan dengan sesi kelas snowboard yang dikendalikan oleh dua orang tenaga pekerja berbangsa Jepun dari ski resort itu sendiri.

Seorang peserta, Zaidatul Akmal binti Mohd Mahfoz yang pertama kali menyertai program ini menyifatkan kelas tersebut sangat membantunya sebagai seorang pemain baru untuk mengendalikan papan luncur tersebut.

Jutaan syabas dan penghargaan diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa dan peserta atas kelancaran program Elegant Ladies Snow Adventure (ELSA) ini. Sesungguhnya program ini tidak akan berjaya tanpa pengorbanan dan usaha setiap pihak, dan yang paling utama, bantuan Allah SWT. Semoga ukhuwwah yang terjalin sepanjang tahun dan sepanjang program kali ini tidak terhenti dan akan terus berkembang dan tersemat dalam diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *