Piala Presiden ISMA 2016!

1897833_1727970477479058_1213887415407372446_n

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, Sabtu – “Kita bercita-cita untuk melahirkan pemain-pemain yang profesional dari segi akhlak, kemahiran dan juga adab,” kata Pengarah Program Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden Isma, Razak Jantan, sewaktu mesyuarat undian kejohanan, sebentar tadi.

Menurutnya, Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden Isma 2016 juga boleh dijadikan medan untuk pasukan-pasukan negeri menghantar pemain-pemain yang berpotensi serta mempunyai bakat yang besar untuk bergabung di bawah pasukan bola sepak Isma Pusat iaitu, Isma FC.

“Program ini merupakan program nasional. Kita panggil semua negeri untuk bersama-sama bertanding dalam perlawanan ini.

“Selain itu, saya turut berharap agar ada penerusan dalam pasukan bola sepak ini dan mewujudkan sebuah pasukan pusat, yang bernaung di bawah Isma FC,” katanya, sebentar tadi.

Di samping itu, beliau turut menginginkan kejohanan ini untuk menjadi satu medium kebersamaaan dan perhubungan antara masyarakat seluruh negara.

Pengerusi Yayasan Ikhlas, Dato’ Mohd Rosli Ramli sebagai salah satu penganjur terbesar kejohanan ini pula berkata, perlawanan ini sebagai bukti penggembelingan tenaga peringkat negeri dalam tempoh yang singkat kerana berjaya mewujudkan pasukan-pasukan terlibat.

“Ini saya rasa, suatu komitmen yang cukup besar dan bukan mudah dalam masa yang singkat untuk kita mewujudkan pasukan-pasukan ini.

“Saya juga berharap, pemain yang akan bertembung di padang nanti memiliki kualiti, kesungguhan dan komitmen sewaktu bermain nanti.

“InshaAllah, kita dapat melihat satu kejohanan yang memberangsangkan dan kejohanan ini bakal melakar sejarah dalam konteks perkembangan Isma itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan cita-cita untuk menjadikan pasukan bola sepak Isma untuk menempah nama dalam bidang sukan bola sepak negara ini.

“Kita nak, supaya lahirnya legenda-legenda daripada perlawanan seperti ini yang memakai nama Isma, sehingga mampu masuk Liga Super dan sebagainya, kemudian berpotensi menjadi wakil negara.

“Inilah titik permulaan yang kita gunakan dan dengan izin Allah, kita akan dapat merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *