Isma Luar Negara perlu gigih pimpin mahasiswa, masyarakat – Isma Australia

Semasa Konvensyen Aspirasi Isma Australia 2017 baru-baru ini, Ketua Cawangan Isma Australia New South Wales, Saudara Imran Harith Azmy, mengingatkan supaya Isma Australia sentiasa ke hadapan dalam menjadi cawangan Isma Luar Negara yang terbaik dalam segenap aspek. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Isma Australia merupakan antara cawangan Isma Luar Negara yang terbesar selain Isma Mesir dan Isma Jordan.

Menurut beliau, pencapaian Isma Australia telah dinobatkan sebagai cawangan Isma Luar Negara yang terbaik oleh Biro Luar Negara (BLN) Isma bagi tahun 2017. Ini merupakan pencapaian yang patut dibanggakan dan beliau berharap, Isma Australia dapat melangkah lebih jauh pada masa akan datang. Pencapaian ini juga seharusnya menjadi contoh kepada cawangan-cawangan luar negara lain untuk sentiasa berusaha dan bersaing secara sihat dalam menjadi organisasi yang kekal relevan serta mengesani mahasiswa dan masyarakat luar negara.

Dengan nada tegas, saudara Imran Harith menyatakan sokongan terhadap tiga Aspirasi Isma Australia yang telah dibentangkan oleh Pengerusi Isma Australia, Saudara Anuar bin Azemi. Aspirasi yang pertama adalah Isma Australia tampil sebagai peneraju amal mahasiswa di Australia. Isma Australia perlu menjadi organisasi yang mendahului dalam pelbagai aspek, bukan sahaja amal-amal islami dan menjadi pilihan utama untuk mahasiswa bergiat aktif. Oleh itu, Isma Australia perlu cakna akan minat mahasiswa setempat agar organisasi ini kekal relevan di bumi Australia.

Beliau menegaskan kepentingan untuk para ahli dan pemimpin Isma Australia khususnya untuk kekal cakna dengan isu-isu semasa dan memperbanyakkan lagi wacana-wacana ilmu berkaitan isu semasa mengikut kerangka fikrah Islam yang sejahtera apabila membahaskan mengenai aspirasi Isma Australia yang kedua iaitu memimpin pandangan umum mahasiswa Malaysia di Australia.

“Untuk menjadi pemimpin pandangan umum  mahasiswa di sini, kita mesti sentiasa cakna dan memperkayakan diri dengan ilmu pengetahuan khususnya yang berkaitan dengan isu semasa,” kata Saudara Imran.

Aspirasi yang ketiga pula ialah Isma Australia mendapat kepercayaan masyarakat mahasiswa dalam dan luar negara. Saudara Imran Harith berpendapat bahawa Isma Australia sudah mendapat kepercayaan masyarakat dan mahasiswa di Australia. Namun, kita perlu menyemaikan perasaan kebersamaan mereka dengan kita. Beliau menyarankan agar barisan jawatankuasa pusat Isma Australia yang akan datang untuk memandang serius pandangan serta pendapat ahli-ahli baru untuk tampil lebih relevan, mengikut keadaan semasa.

Beliau mengakhiri perbahasan bagi cawangan New South Wales dengan mengajak semua ahli Isma Australia agar menggunakan masa, tenaga dan fikiran untuk tujuan mendaulatkan Islam di muka bumi ini terutamanya di Australia.

Irfan Bin Alias

Ahli Biro Komunikasi dan Multimedia

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Australia

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *