ISMA sediakan kelas bimbingan Al-Quran untuk anak orang asli

Anak Orang Asli ISMA Gombak
GOMBAK, 25 Mei – “Kelas bimbingan Al-Quran untuk anak-anak orang asli di kampung Batu 12, Gombak adalah satu inisiatif dakwah dan khidmat bakti ISMA kepada golongan itu,” demikian ujar Naib Yang Dipertua ISMA cawangan Gombak, Tuan Haji Abdul Samad Ashaari.

Katanya, kelas Al-Quran ini diadakan untuk memberi bimbingan dan pembelajaran kepada anak-anak orang asli bermula dari asas iqra sehingga Al-Quran.

“Ia diadakan secara berterusan bermula jam 4 hingga 6 petang pada setiap hujung minggu. Bagaimanapun, terdapat juga golongan warga emas orang asli yang berminat untuk mengikuti kelas pengajian ini” ujarnya ditemui pemberita selepas sesi pengajian di Surau Al-Hidayah.

Tambah Tuan Haji Samad, kelas Al-Quran ini merupakan antara salah satu projek dakwah orang asli yang dikendalikan ISMA cawangan Gombak bersama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).

Ini berikutan kerana ISMA melihat kebanyakan penduduk orang asli mempunyai kefahaman Islam yang terlalu cetek.

“Mereka tidak mengamalkan ajaran Islam dan tidak tahu cara melakukan perkara asas dalam Islam seperti ibadah solat dan bacaan wajib dalam solat.

“Hingga akhirnya ramai yang terus meninggalkan amalan Islam dan lebih membimbangkan turut berlaku gejala murtad dalam kalangan mereka” katanya.

Ujar beliau lagi, anak-anak komuniti orang asli ini juga rata-ratanya agak ketinggalan dari segi ilmu agama dan akademik.

Maka oleh sebab itu, ISMA juga mengambil langkah permulaan memberi fokus kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah di kalangan komuniti orang asli dengan kelas bimbingan akademik Bahasa Inggeris dan Matematik selain mengadakan kelas Al-Quran.

Antara lain program yang telah dirangka untuk mereka ialah Ihya Ramadhan serta perkhemahan untuk lepasan SPM bagi anak-anak orang asli.

Orang Asli ISMA Gombak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *