ISMA Seremban dedah pengkhianat bangsa menerusi seni silat

Oleh : Julaibeeb Jamalludin

SEREMBAN, 9 Feb. – Pengkhianat dalam kalangan bangsa Melayu adalah agen kepada musuh bagi mengganggu gugat kedudukan agama Islam serta cuba meruntuhkan institusi negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Demikian gimik perasmian yang telah dipersembahkan oleh wakil Persatuan Seni Silat Hang Tuah Malaysia cawangan Seremban pada Mesyuarat Agung Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Seremban Sabtu lalu.

Gimik dimulakan dengan penceritaan tentang kembara seorang pesilat menuntut ilmu sehingga khatam ilmu persilatan yang diperturunkan, yang kemudiannya mengundang musuh-musuh dari pengamal seni pertahanan diri bukan tempatan yang cuba untuk menjatuhkan watak utama tersebut.

Namun setelah musuh-musuh yang nyata telah tumpas, watak antagonis sebenar muncul di kalangan bangsa sendiri yang mengkhianati Agama, Bangsa dan Negaranya sendiri.

“Watak utama mewakili umat Islam yang berjuang mempertahankan identiti Malaysia sebagai negara Islam,manakala watak-watak musuh mewakili musuh yamg cuba menggagalkan serta menafikan identiti negara tersebut sama ada musuh yang hadir secara nyata atau ‘musuh dalam selimut’,” ulas Muhammad Mabrur, 31, selaku Ketua Pemuda Isma cawangan Seremban yang mengepalai gimik tersebut.

Watak antagonis yang merupakan ‘gunting dalam lipatan’ akhirnya berjaya ditumpaskan di tangan pesilat walaupun pada mulanya dilihat seolah lebih kemas dan cantik rentaknya pada mata yang mudah terpesona.

Gimik diakhiri dengan penyerahan plak kayu Simbol Malaysia Negara Islam kepada Naib Presiden 1 Isma, Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni untuk diletakkan pada tempatnya diiringi dengan tepukan gemuruh para hadirin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *