ISMA Shah Alam anjurkan Jaulah Sejarah Kesultanan Melayu Perak.

 

Oleh : Saiful Azhar Masri

PERAK, 15 April 2018, Ahad- Berkonsepkan pengenalan dan penghargaan warisan tempat bersejarah, ISMA SHAH ALAM telah menganjurkan Jaulah Sejarah Kesultanan Melayu Perak dengan kehadiran kira-kira 40 peserta pada tahun ini. Tujuan program ini untuk membawa aktivis ISMA meneroka tinggalan sejarah negeri Perak.

Penelusuran jaulah ini bermula dengan pengisian kisah terasasnya kerajaan Kesultanan Perak oleh Sultan Muzaffar Syah di muara Sungai Perak di Bagan Dato’, hingga ditamatkan dengan kisah penghayatan perwira negara Dato Maharajalela di Muzium Pasir Salak di Kampung Gajah.

Pengarah Jaulah tersebut, Saiful Azhar bin Masri berkata, program Jaulah tersebut merupakan salah satu program yang dianjurkan setiap tahun oleh ISMA Shah Alam dan keunikannya pada kali ini adalah lebih banyak pendedahan tentang sejarah negeri Perak yang diyakini sudah kian dilupai oleh generasi masa kini walaupun penulisan sejarah ini wujud sekian lama dalam silibus buku teks sekolah menengah.

“Pada tahun ini, destinasi pilihan adalah negeri Perak kerana ia mempunyai keunikan tersendiri dan tinggalan sejarah agung negara. Di samping menyedarkan para peserta dengan peninggalan-peninggalan nenek moyang perajurit negara kita dalam jihad mereka menentang penjajah seperti pihak Inggeris di Pasir Salak dan askar bintang tiga komunis di Sungai Manik.

“Selain itu, mereka juga berpeluang untuk meneroka keindahan negeri ini dengan melalui kampung-kampung dan bendang yang wujud sejak zaman lagenda Semerah Padi dahulu lagi, selain daripada menikmati keindahan alam air terjun di Lata Kinjiang dan keenakan Nasi Vanggey Ipoh,” katanya di sini baru-baru ini.

Acara tersebut yang disertai oleh pelbagai lapisan peserta, iaitu aktivis yang belajar dan bekerja daripada ISMA Shah Alam. Para peserta dan AJK telah bertolak daripada Shah Alam pada jumaat malam dan selamat kembali pada Ahad tengahari, di samping pengisian rohani oleh asatizah ISMA Perak, iaitu Ustaz Agus Lukman, Ustaz Yusri Ismail dan Ustaz Fadzli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *