Isteri solehah pendokong dakwah suami

photo_2015-04-23_18-59-46

Oleh Syarifah Aisyah bt. Syed Abd Halim

GOMBAK, 28 April – Perkahwinan merupakan penyatuan dua jiwa. Islam telah menyediakan panduan yang lengkap tentang hak dan tanggungjawab yang dituntut ke atas suami dan isteri untuk menjamin keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga.

Hal ini merujuk kepada ceramah  Ustazah Wirdaningsih Ahmad semasa program ‘Kerana Aku Isteri Dia’.

Menurut Ustazah Wirdaningsih, para isteri dituntut untuk melaksanakan tuntutan rumah tangga dengan sebaiknya kerana institusi rumah tangga merupakan tembok yang menjaga suami dan isteri dari terjebak dengan maksiat di luar rumah.

Tambahnya lagi, isteri sewajarnya menitikberatkan urusan rumah tangga kerana pendakwah juga adalah manusia biasa, isteri kepada lelaki bergelar suami.

“Antara tanggungjawab isteri terhadap suami adalah memberi ketaatan sepenuhnya terhadap suami selagi mana tidak bertentangan dengan syarak, meminta izin daripada suami untuk keluar rumah dan berpuasa sunat, berkhidmat kepada suami dan mensyukuri kebaikan suami ke atasnya. Sangat penting untuk isteri menyempurnakan tanggungjawabnya supaya suami tenang dan dapat fokus terhadap urusan kerja dan dakwah,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Wanita ISMA Ustazah Suriani Sudi pula menasihati peserta supaya bersyukur kerana dikurniakan suami yang terlibat aktif dalam aktiviti dakwah.

Semasa menyampaikan slot bertajuk ‘Antara Cabaran dan Persiapan dalam Mentadbir Urus Konflik Baitul Dakwah’, beliau turut berkongsi resepi untuk menambat hati suami seperti sentiasa mengekalkan suasana pengantin baru, menunjukkan sifat prihatin terhadap kesibukan suami di luar rumah, memasak makanan kegemaran suami, menghantar mesej romantik dan melakukan kejutan istimewa kepada suami.

Program anjuran Biro Wanita ISMA telah diadakan baru-baru ini di Pejabat ISMA Cawangan Gombak bertujuan untuk membentuk peribadi isteri yang seimbang dalam menguruskan rumah tangga dan dakwah supaya menjadi pendokong kuat kepada aktiviti dakwah suami.

Selaku pengarah program, Puan Zaharah Md Nor berharap agar para peserta dapat mengaplikasi ilmu baru yang dipelajari demi kebaikan dakwah Islam di Malaysia.

Majlis diserikan dengan tayangan video yang memaparkan gambar perkahwinan ahli ISMA cawangan Gombak.

photo_2015-04-23_19-05-23