Isu Buku Teks BM SJK: Paradigma Positif, Rasional Dituntut

CINTAILAH-BAHASA-KEBANGSAAN-KITA

Sudah tiba masanya ahli politik dan pemimpin persatuan pendidikan Cina membuat anjakan paradigma yang lebih berwawasan dalam usaha menambah baik penguasaan Bahasa Melayu di kalangan para pelajar SJKC.

Dalam isu terbaru iaitu penolakan penggunaan edisi buku teks Bahasa Melayu seragam bagi Tahun Enam, tindakan mereka (ahli politik Cina dan pemimpin persatuan) melepaskan satu lagi peluang untuk memulakan suatu perubahan yang positif amat dikesalkan.

Dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat lepas, penyeragaman buku teks Bahasa Melayu bagi sekolah kebangsaan dan vernakular yang diputuskan sebelum ini telah dibatalkan atas desakan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Terdahulu, Persatuan Gabungan Guru Sekolah Cina (Jiao Zong) dalam satu kenyataan menegaskan buku teks seragam tidak patut digunakan memandangkan pelajar SJKC mempunyai “keperluan yang berbeza” dan tahap kemahiran yang tidak sama dengan pelajar sekolah kebangsaan.

Ini diikuti dengan beberapa lagi kenyataan yang tergesa-gesa yang bersifat andaian oleh beberapa organisasi lain dan sesetengahnya cuba dilencongkan kepada isu lain yang tidak berkaitan seperti isu latihan guru, alatan bantu pembelajaran dan kesesuaian suasana.

Pihak-pihak tersebut sepatutnya berfikir lebih jauh dan mengambil ruang ini untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar serius untuk membetulkan keadaan sekarang di mana tahap penguasaan Bahasa Kebangsaan di sekolah-sekolah berkenaan masih di tahap merisaukan, bukan sahaja kepada para pelajar terlibat tapi lebih lagi kepada aspek pembangunan negara pada masa hadapan.

Mereka sewajarnya menilai pendekatan penyeragaman buku teks sebagai langkah yang penting untuk membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu secara berperingkat, dan bukannya satu tindakan provokasi yang mengancam mana-mana aspek budaya masyarakat Cina secara langsung mahupun sebaliknya.

Seperti yang dimaklumi, ini bukan pertama kali perkara seumpama ini berlaku. Beberapa inisiatif dan pendekatan seumpama ini yang cuba dijayakan oleh kerajaan sebelum ini telah turut terbantut kerana sikap serta respon yang negatif dan terlalu defensif daripada pihak yang sama.

Penetapan tempoh pembelajaran Bahasa Melayu selama 240 minit seminggu seperti terkandung dalam Pelan Pendidikan Kebangsaan 2013-2025 telah disifatkan sebagai tidak perlu oleh MCA yang mahukan pengurangan kepada hanya 210 minit. Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) pula mempertimbangkan beberapa pilihan tindakan balas berhubung penetapan tersebut termasuk untuk menyaman kerajaan dan mengadakan protes besar-besaran.

Idea bernas Sekolah Wawasan di mana sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan berkongsi fasiliti dan aktiviti dengan matlamat untuk meningkatkan interaksi antara pelajar juga telah ditentang hebat oleh Dong Zong dan Jiao Zong. Apa yang dikesalkan, tentangan keras ini didasari oleh kekhuatiran mereka bahawa penggunaan Bahasa Melayu secara meluas dalam komunikasi antara pelajar akan menjejaskan identiti sekolah Cina.

Sikap prejudis berlebihan yang menyamakan sebarang usaha meningkatkan kemahiran Bahasa Kebangsaan sebagai ancaman kepada penerusan bahasa ibunda adalah tidak berasas dan patut diubah. Mereka patut menilai semula pendekatan mereka yang seolah-olah masih mengurus sekolah vernakular dengan rangka pemikiran defensif seperti era sebelum merdeka.

Mereka patut bertanya kepada diri sendiri samada kewujudan segmen rakyat Malaysia yang tidak mampu berkomunikasi dalam Bahasa Kebangsaan dengan betul, lagikan setelah hampir 60 tahun merdeka, wajar dibiarkan berlarutan?

Mereka juga perlu mengambil kedudukan yang lebih rasional dalam menilai inisiatif-inisiatif yang dirangka untuk membantu menyelesaikan masalah ini dan tidak berfungsi seperti suis automatik yang menolak terus apa sahaja cadangan berkaitan dengan pemulihan penguasaan Bahasa Melayu di sekolah vernakular.
Sudah pasti kita sebagai rakyat Malaysia tidak lagi mahu dihidangkan dengan berita seperti ratusan peserta PLKN yang didapati langsung tidak boleh bertutur Bahasa Melayu, atau masih melihat Ahli Parlimen yang tersekat-sekat ketika berhujah dan diwawancara.

Sememangnya penyelesaian yang menepati aspirasi masa depan tanah air ini dan keseluruhan rakyat dituntut daripada semua pihak yang terlibat, dan ianya boleh dimulakan dengan paradigma yang lebih rasional dan positif.

Umar Hakim

 

 

 

 

 

 

Umar Hakim Mohd Tajuddin
SU Biro Penerangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *