Isu Buli: Tarbiah Solusi Terbaik

Sungai Petani, 20 Jun – Masalah buli di kalangan remaja dan golongan muda di pelbagai peringkat dan tempat mampu ditangani melalui proses tarbiah yang seimbang dan berterusan, demikian pandangan saudara Aiman Rosli, Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Sungai Petani berhubung isu buli yang baru-baru ini digemparkan dengan insiden kematian kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Katanya jika dilihat dalam kes buli di UPNM tersebut, antara tindakan yang mendorong mereka untuk melakukan penyeksaan terhadap mangsa adalah susulan daripada kata-kata bomoh yang dirujuk mereka yang mendakwa mangsa adalah pencuri laptop yang hilang. Beliau berpandangan sekiranya mereka pernah melalui satu proses tarbiah yang baik dan berterusan, sudah pasti aspek syirik dalam meminta pandangan daripada tukang tilik atau bomoh akan diterangkan dan ini mungkin mengubah cara fikir mereka dalam merujuk atau menyelesaikan sesuatu. Selain itu proses tarbiah yang holistik dari aspek mental, rohani dan fizikal sudah pasti akan menyentuh kepelbagaian latarbelakang peribadi remaja samada masalah karakter pembuli, atau sikap panas baran, agresif dan sebagainya.

Beliau juga berpandangan, bentuk-bentuk penyelesaian seperti saluran hotline bantuan kepada mangsa atau hukuman keras ke atas pelaku buli adalah mekanisme yang bersifat merawat berbanding proses tarbiah yang lebih bersifat mencegah sebelum masalah tersebut berlaku. Ujarnya, solusi merawat ini perlu dikekalkan tetapi perlu dilengkapi dengan pelaksanaan proses tarbiah pada skala kecil yang akan membuka ruang interaksi yang efektif antara murabbi (pelaksana tarbiah) dengan golongan anak muda melalui proses tersebut.

PEMBINA Sungai Petani, sebagai salah sebuah cawangan kepada PEMBINA, telah meletakkan aspek tarbiah terhadap golongan belia sebagai antara fokus utama aktivisme PEMBINA Sungai Petani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *