JADIKAN KELAB REMAJA ISMA PLATFORM UNTUK BERUBAH

Kuching, 26 Nov: “Para remaja perlu merasakan diri mereka penting dan lebih baik daripada apa yang mereka fikirkan. Saya mahu setiap peserta mempunyai rasa keinginan untuk terus beraktivisme dan menyumbang tenaga mereka kepada kebaikan serta menjadikan Kelab Remaja Isma (KRIM) sebagai sebuah platform untuk mereka berubah ke arah lebih baik,” ujar saudara Mohammad Afiq Shazwan bin Abd Samat, Penyampai Slot Motivasi High Impact yang juga merupakan Naib Yang Di-Pertua (NYDP) Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kuching dalam program Finale 2017 untuk Zon Sarawak yang telah diadakan baru-baru ini.

Pengarah program, Mohamad Abdul Rahman Hussein berkata, dia sangat bersyukur dan berpuas hati kerana program Finale 2017 berjalan dengan lancar. Dia berharap para peserta mendapat input yang berguna untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Menurut salah seorang peserta program, Nur Mashitah binti Katay, program Finale 2017 banyak mengajar tentang jati diri sebagai seorang Muslim. Malah, ibu bapa yang turut hadir dalam majlis penutupan memberikan respon yang positif terhadap program ini.

Dalam program tersebut, Adik Mohd Aliff Irfan bin Mohd Iqmal telah dinobatkan sebagai Tokoh Finale 2017 Zon Sarawak bagi peserta lelaki, manakala Adik Nur Mashitah binti Katay dinobatkan sebagai Tokoh Finale 2017 untuk peserta perempuan.

Para peserta sangat seronok dengan aktiviti yang dijalankan dan berharap dapat menyertai program yang lain pada masa akan datang.

Seramai 31 orang peserta dari kalangan pelajar sekolah menengah di sekitar Kuching dan Kota Samarahan telah menyertai program dua hari, satu malam itu. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program. Antaranya ialah Explorace, Team Building, Projek Kutipan Amal, Talent Show dan Slot Motivasi High Impact.

FINALE merupakan kemuncak kepada pakej Program Akademi Remaja KRIM (ARK) 2017 yang telah diadakan serentak di 4 zon seluruh negara termasuklah Zon Selatan, Zon Pantai Timur dan Zon Sabah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *