Jadikan Ramadan bulan untuk lonjakkan taqwa

Ustaz Haji Zamani Ibrahim

Ustaz Haji Zamani Ibrahim

Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana masih berpeluang bertemu Ramadan al-Mubarak sekali lagi pada kali ini. Mudah mudahan kita terus bersedia dengan penuh semangat untuk menyambut kehadirannya.

Sebagai daie, kita seharusnya mengambil peluang untuk menyeru umat Islam keseluruhannya agar menjadikan Ramadan sebagai bulan yang mendapat mendidik jiwa untuk menjadi insan yang lebih bertaqwa.

Ingatlah bahawa masa yang berlalu pergi adalah realiti usia kita kian menuju ke penghujungnya. Lantaran itu, ambil masa sebentar, duduk sejenak dan muhasabahlah diri kita.

Sesungguhnya kerja dakwah kita dan pengorbanan kita adalah untuk agama Islam yang kita cintai.

Surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud:

“Orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah bersama orang yang berusaha membaiki amalannya”.

Matlamat puasa di bulan Ramadan adalah untuk melahirkan insan yang bertaqwa, namun persoalannya selepas menjadi insan yang bertaqwa, apakah peranan utama yang mesti dimainkan oleh insan bertaqwa.

Kita harus memahami bahawa insan bertaqwa adalah insan yang menjadi penggerak utama di muka bumi ini untuk memastikan agenda Islam terlaksana, benteng utama dalam mempertahankan Islam dan umatnya dari sebarang agenda musuh yang ingin menghancurkan Islam.

Untuk memastikan Islam kembali memimpin dunia khususnya di Malaysia tercinta ini, maka insan bertaqwa adalah merupakan insan yang cintakan persaudaraan dan bencikan bibit-bibit permusuhan sesama Islam. Insan bertaqwa rela mengorbankan kepentingan diri dan kesepakatan demi Islam.

Marilah kita ambil peluang kehebatan Ramadan yang barakah ini untuk kita sama-sama merapatkan barisan ukhuwwah Islamiah dan seterusnya sepakat, senada dan seirama dalam membawa agenda Islam, ini adalah kerana keyakinan kita bahawa bumi Malaysia ini adalah milik kita dan kitalah tuan tanah kepada Tanah Melayu yang bertuah ini.

“Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak”

Ustaz Haji Zamani b. Ibrahim
Yang DiPertua ISMA cawangan Seremban

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *