Jadilah manusia yang bermanfaat kepada masyarakat

isma kl

PANTAI DALAM, 20 Feb. – “Kita tidak dilahirkan semata-mata menjadi seorang rahib yang duduk bersedih bermunajat semata-mata, tetapi ada keperluan yang lebih besar untuk kita di mana kita perlu menyeru kepada masyarakat,” kata Ketua Biro Ekonomi ISMA Kuala Lumpur, Encik Hamzah Sakeran.

Menurut beliau, ahli ISMA perlu memahami kenapa sahabat-sahabat Rasulullah yang sudah dijamin syurga tetapi masih berdakwah kerana mereka mengimani surah Fussilat ayat 33: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”.

Encik Hamzah berkata demikian semasa menyampaikan tazkirahnya dalam majlis iftar jama’ei ISMA Kuala Lumpur di sini.

Tambahnya, antara sebab kenapa manusia tidak keluar daripada kelompok yang soleh ini untuk berdakwah kepada masyarakat adalah kerana mereka tidak merasakan singkatnya hidup ini, tidak merasakan nikmatnya syurga yang punya tingkatan-tingkatan nikmat berbeza dan merasa selesa dengan keadaan sedia ada.

Justeru, beliau menyeru ahli ISMA untuk tidak hanya menjadi orang yang soleh tetapi membawa kebaikan kepada masyarakat.

“Bila datang seruan ISMA untuk keluar ke dalam masyarakat menentang isu-isu yang boleh merosakkan aqidah umat Islam, di mana kita?”

Dalam mengubati orang yang soleh tetapi tidak bermanfaat kepada masyarakat ini, beliau berkata mereka harus membaca buku-buku biografi tokoh-tokoh Islam dan melihat kembali sejarah Islam, mengunjungi qudama’ di kawasan lain, memahami hakikat tujuan hidup manusia untuk menjadi khalifah dan seorang hamba Allah yang taabudi, dan perlu bina keteguhan hati untuk mengikis ketidakberdayaan serta keluar dari zon selesa.

Program iftar jama’ei ISMA Kuala Lumpur yang diadakan pada minggu ke-3 setiap bulan ini adalah salah satu program tarbiyah untuk pengisian rohani ahli ISMA kuala Lumpur.

Disediakan oleh Rizal bin Zulkifli Poh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *