JALINAN 2017: Mempelopori Aktivisme, Menyantuni Masyarakat

Pulau Pinang, 29 Syawal 1438H – Jalinan Ukhuwwah 2017 telah berjaya menghimpunkan seramai 70 orang mahasiswa dan mahasiswi luar negara termasuk United Kingdom, Ireland, Mesir, Jordan, New Zealand, India, Korea dan Amerika Syarikat untuk menjayakan projek khidmat masyarakat dan kesukarelawanan dalam menyantuni masyarakat yang berada di sekitar Pulau Pinang. Program anjuran Biro Luar Negara ISMA dengan kerjasama ISMA Seberang Perai Utara (SPU) ini telah berjaya mencapai objektif dengan jayanya dengan memberi peluang kepada para peserta untuk beramal serta menyiapkan diri mereka untuk menjadi individu yang berketrampilan dan mempunyai sahsiah yang mapan dalam mempersiapkan diri mereka menjadi seorang pemimpin apabila pulang ke Malaysia kelak.

“Dengan bertemakan ‘Kun Sabaqan’, program Jalinan Ukhuwwah pada tahun ini telah menggunakan format yang lain daripada tahun yang sebelumnya kerana program yang disusun adalah dengan menggabungkan dan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi yang bernaung di bawah ISMA SPU seperti Kelab Remaja ISMA (KRIM), Kelab Nadi Al-Azim (NAZIM), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Wanita ISMA dan Pemuda ISMA serta I-Medik,” ujar Muhammad Ridzuan Rusdi, selaku pengarah program.

Antara aktiviti-aktiviti menarik yang telah dijalankan sepanjang program adalah program rewang dan gotong-royong bersama anak-anak kariah Masjid Jamek Hj Abd Rashid, Seminar Fiqh Wanita, pemeriksaan kesihatan, tinjauan bancian bersama mahasiwa IPT serta program pembangunan kemahiran diri bersama pelajar sekolah menengah.

Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini juga telah berjaya membentuk cara berfikir yang lebih kreatif dan kritis kepada aktivis-aktivis ISMA luar negara melalui pertukaran idea dan pendapat melalui persidangan cawangan pada hari pertama dan diikuti slot-slot pengisian oleh penceramah-penceramah jemputan untuk mengupas isu-isu semasa, kepimpinan serta pengurusan organisasi dan perkongsian pengalaman oleh fasiltator daripada ISMA SPU.

Jalinan 2017 telah melabuhkan tirainya dengan jayanya melalui ucapan perasmian penutup yang dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Naib Presiden 1 ISMA selaku tetamu jemputan pada hari terakhir program.

Laporan Berita disediakan oleh;

Mohammad Aiman Hazim

Wartawan Biro Luar Negara ISMA (BLN ISMA)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *