Jati diri muslim sejati benteng zina

photo_2015-04-25_14-47-22

KUALA TERENGGANU, 29 April – “Binalah jati diri sebagai seorang muslim sejati sebagai asas untuk menjauhkan diri daripada zina dan segala bentuk maksiat yang lain,” ujar Dr. Ihsanuddin Abas, wakil Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Cawangan Kuala Terengganu ketika program ‘Say No To Zina’ yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin baru-baru ini.

Tambahnya lagi, para remaja juga perlu jelas tentang tugas dan tanggungjawab sebenar sebagai seorang khalifah di muka bumi ini agar tidak mudah terpesong dengan perkara-perkara negatif yang dilarang agama seperti zina.

Turut sama Dr. Sharifah Razlina Tuan Muda, dari Klinik Famili dan Dr. Muna Hamiza Asiff, pensyarah Fakulti Perubatan Pelatih Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang juga wakil dari I-Medik.

Lebih 500 orang pelajar tingkatan satu dan empat terlibat dalam program ini yang bertujuan untuk memberi kesedaran tentang bahaya zina dan kesannya kepada kesihatan, agama dan masyarakat di samping mendidik pelajar untuk membenci perbuatan tersebut.

Program yang dianjurkan bersama oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) dan Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) cawangan Kuala Terengganu ini disasarkan kepada pelajar sekolah menengah sebagai satu usaha untuk membendung masalah yang berkaitan dengan zina dalam masyarakat.

Mana-mana sekolah yang berminat untuk menjalankan program ini di sekolah masing-masing boleh hubungi wakil KRIM di talian 019-2548666 (Ramadhan) atau 013-4157915 (Norafiza) atau berhubung menerusi laman Facebook KRIM KT iaitu fb.com/KRIMKT.

photo_2015-04-25_14-46-20