Jejak Khadijah: Wanita ISMA KL didik ilmu perniagaan

13 Jan, Kuala Lumpur- Rata- rata peserta yang hadir merasakan program Jejak Khadijah yang dianjurkan oleh Biro Wanita Isma Cawangan Kuala Lumpur ini amat membantu mereka yang ingin berjinak dalam dunia perniagaan secara realistik.

Program yang pertama kali dianjurkan ini juga telah mendapat lamaran dan jemputan daripada pihak luar.

“Program yang sangat bagus untuk permulaan tahun 2019 saya kerana dapat membantu menguruskan kewangan dengan baik. Banyak idea baru yang diperolehi.”, ujar Puan Noradibah yang baru menjadikan hobinya membuat Brownies sebagai peniagaan sambilan.

Tujuan Program Jejak Khadijah ini dianjurkan adalah bagi membantu wanita yang ingin menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan. Oleh itu, Biro Wanita Isma Cawangan Kuala Lumpur menampilkan usahawan yang pernah menjana jualan tujuh angka dan pernah melalui fasa turun naik dalam dunia perniagaan iaitu Puan Nurulhuda Abd Karim (pengasas Hijriahome Sdn. Bhd.) untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.



Beliau berkongsi lima kesilapan yang sering dilakukan oleh peniaga agar kesilapan yang sama tidak diulangi oleh mereka yang baru menceburkan diri dalam perniagaan.

“Perkara paling asas dalam pengurusan kewangan yang perlu seseorang peniaga lakukan adalah dengan mencatatkan duit keluar-masuk bagi memastikan perniagaan yang dijalankan memperoleh keuntungan dan bukan hanya memperoleh penat lelah semata,” tutur Puan Nurulhuda.

Beliau juga mengingatkan bahawa pemahaman tentang konsep rezeki perlu jelas, “formula rezeki adalah unik, ada sebab kenapa Allah beri dan tahan rezeki dan kita perlu sabar”.

Selain itu, Puan Farhana Zawani bt Mohd Lazim pemilik Inspirasi Khadijah Resources turut menekankan para perniaga yang ingin berjaya perlu menjaga hubungan dengan Allah serta mendapat restu daripada ibu bapa serta suami bagi yang telah berkahwin.



Puan Farhana menutup slot beliau dengan mengajak semua untuk mentadabur ayat Surah as-Soff 10-11, yang memperlihatkan hubungkait yang rapat antara berniaga dan berdakwah. Masing-masing memerlukan pengorbanan dan kekuatan dalam menghadapi ujian-ujian yang mendatang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *