Jemaah Islam mesti bergerak secara menyeluruh

Ustaz Mohd Ali Abdullah
KUANTAN, 29 Mac – Jemaah Islam yang ada mestilah bergerak secara menyeluruh dan tidak memisahkan aspek kerohanian, kebajikan, politik, dan keilmuan.
 
Ahli Jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuantan, Ustaz Mohd Ali Abdullah berkata, kegiatan dan kerja-kerja yang bersifat juz’ie, sempit dan tidak menyeluruh atau syumul akan memberikan gambaran bahawa Islam itu adalah seperti yang mereka bawa, sedangkan ajaran Islam tidaklah bersifat sedemikian.
 
Menurut beliau, sebuah pertubuhan juga akan menepati ciri-ciri harakah Islam apabila matlamat mereka adalah menegakkan Islam secara berperingkat-peringkat, bermula dengan individu, keluarga, masyarakat, dan negara.
 
“Teras pada harakah Islam ini adalah asas akidah. Seperti yang ditunjukkan dalam sirah Rasulullah s.a.w, yang mana pendokong perjuangan baginda adalah orang yang memahami Islam. Apabila asasnya (kefahaman Islam) sudah kuat, maka barulah hukum dan undang-undang dilaksanakan,” jelas beliau lagi.
 
Beliau dipetik sebagai berkata demikian ketika menyampaikan kuliah maghrib baru-baru ini di Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bukit Rangin.
 
Tambahnya, pendokong harakah Islam juga wajib mengetahui penyertaan mereka ke dalam gerakan Islam tersebut atas kesedaran sendiri, bukan dibuat-buat atau kebetulan sahaja.
 
“Penyertaan tersebut mestilah dibuat atas dasar kesedaran dan pemikiran yang sihat, bukan penyertaan secara membuta-tuli atau kerana sesuatu keinginan.
 
“Jika sebab penyertaan adalah kebetulan sahaja, alasan kebetulan itu sudah tertolak dari logik syariat Islam,” ujarnya lagi.
Wartawan: Azizul Shaharudin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *