JUAL BAYI : Jenayah atas jenayah

Saya rasa bertanggungjawab untuk respon tentang isu jual bayi seperti yang dilaporkan oleh media al Jazeera baru-baru ini, kerana mengikut pemerhatian saya kegiatan ini terlalu banyak kesalahan jenayah di dalamnya samada jenayah dari sudut undang-undang mahupun syariat.

Adapaun begitu, tulisan saya kali ini hanya akan menyentuh kesalahan jenayah ini dari sudut syara’, walaupun terdapat juga banyak kesalahan dari sudut undang-undang.
Seperti yang dimaklumkan, jenayah jual bayi ini dengan mudahnya mengubah nama ibu bapa kandung kepada nama ibu bapa angkat di dalam sijil kelahiran palsu, kemudian disahkan oleh doktor khas yang terlibat dalam hal ini. Lalu sijil itu di daftarkan di JPN secara haram melalui pintu belakang.

Jenayah dari sudut syara’ yang jelas dalam hal ini ialah:

1) Menasabkan anak kepada bapa angkat:

Islam tidak melarang untuk mengambil anak angkat, akan tetapi Islam mengharamkan umatnya untuk membinkan anak kepada bapa angkatnya.
Rasulullah SAW sebelum diutus menjadi nabi pernah mengangkat anak yaitu sahabat Zaid bin Haritsah RA dan namanya berubah menjadi Zaid bin Muhammad . Ketika beliau menjadi nabi, nama Zaid tetaplah Zaid bin Muhammad. Kemudian turunlah ayat yang menghapus kebolehan mengangkat anak dinasabkan kepada ayah angkatnya. Allah Ta’ala berfirman,

وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ
“..dan Dia tidak menjadikan anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri)..” (Al-Ahzab:4)

ادْعُوهُمْ لآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ فَإِنْ لَمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ
“Panggilah mereka (anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapak-bapak mereka ; itulah yang adil di sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapak mereka, maka (panggilah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu..” (Al-Ahzab:5)

Berdasarkan kepada kedua-dua ayat di atas jelas bahawa perbuatan membinkan anak angkat kepada bapa angkat adalah dilarang dalam Islam.

Ibnu al-Qayyim berkata:
“Sesungguhnya nasab itu thabit pada asalnya ialah kepada bapa.” (Zad al-Ma’ad, jld. 4, hlm. 110)

Oleh itu, kita perlu ingat dan sedar yang menetapkan nasab itu ialah Allah dan menasabkan kanak-kanak itu kepada bapa kandungnya ialah hak kanak-kanak tersebut. Sekiranya berlaku khilaf (tidak dikenali bapanya) maka hendaklah dibinkan dengan Abdullah.

Dari Sa’ad RA berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda :

مَنْ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ”
“Barangsiapa menasabkan diri kepada selain ayahnya padahal ia mengetahui akan hal itu, maka surga haram baginya.” (HR. Bukhari)
Dapat difahami daripada hadis ini bahawa penipuan dalam menasabkan anak kepada bukan ayahnya merupakan satu perbuatan keji dan haram di sisi Islam dan akan memberi kesan kepada masa depan anak-anak, agama dan negara.

2) Percampuran nasab keturunan :

Hasil penipuan nasab yang dilakukan, akan terbentuk satu masyarakat yang bercampur nasab keturunannya, yang mana akan menyebabkan kecelaruan dan kesukaran dalam kehidupan anak yang terlibat.

Islam telah menggariskan lima keperluan asasi (maslahah daruriyat) yang menjadi keperluan asas kepada kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Keperluan asasi itu ialah, agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda. Segala urusan agama dan keduniaan harus dibina di atas maslahah-maslahah ini dan hanya dengan memelihara kesejahteraannya sahaja kehidupan individu dan masyarakat akan berjalan dengan baik.

Memelihara nasab termasuk dalam keperluan asasi manusia, sekiranya tidak diperlihara maka pelbagai masalah dalam menetukan hukum akan berlaku, seperti pencampuran mahram, menentukan hukum waris, masalah wakaf, putusnya hubungan kerabat serta masalah kafa’ah (keserasian) suami terhadap isteri dalam pernikahan.

Contohnya dalam hukum pernikahan, gadis yang diwalikan oleh bapa angkat tidak sah akad nikahnya, urusan akad itu mesti diserahkan kepada wali hakim. Bapa angkat juga tidak boleh mewakilkan kepada wali hakim kerana dia tidak ada hak wali. Jika berlaku juga perkahwinan maka perkahwinan yang diwalikan oleh bapa angkatnya tidak sah, jika berlaku juga akad maka akad tersebut terbatal dengan sendirinya. Hubungan suami isteri juga menjadi haram (zina). Anak yang diperoleh juga akan menjadi anak tak sah taraf.

Islam memandang serius hal ini, oleh kerana itu ditetapkan hukum menentukan tempoh ‘iddah bagi wanita yang bercerai selama 3 quru’ (3 kali suci) atau kematian suami selama 4 bulan 10 hari. Ia ditentukan bagi mengelak berlakunya percampuran benih dalam rahim yang sama dan kekeliruan nasab pada anak yang dilahirkan.

Kecelaruan keturunan, perkahwinan adik beradik mungkin berlaku, kelahiran anak tidak sah taraf akan semakin membiak, hukum Islam tidak akan dapat dilaksanakan sepenuhnya dek kerana jenayah kejam ini. Beginikah masa depan negara dan agama yang kita harapkan?

Kesimpulan

Walaupun mereka yang terlibat menjual bayi menggunakan alasan menyelamatkan dari dibuang begitu sahaja, tetapi jalan yang diambil bukanlah jalan yang halal. Selain menyembunyikan nasab, mendaftarkan secara haram, jenayah ini dilihat seolah-olah merendahkan kemuliaan anak adam, dijadikan barang dagangan dengan harga yang tertentu mengikut berdasarkan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sedangkan Allah meletakkan manusia di suatu darjat yang berbeza dengan makhlukNya yang lain.

Satu kaedah usul fiqh menyatakan :

كل ما أدى إلى حرام، فهو حرام
‘Semua perkara yang membawa kepada perkara haram, maka ia adalah haram.’

Tindakan menjual bayi dan menyembunyikan nasab keturunannya merupakan perkara haram, maka segala usaha yang membantu kearah itu adalah haram.
Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2:

((وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ))
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar tidak memandang enteng jenayah ini, dan bersama-sama membanteras dengan menyedarkan pihak yang terlibat jika mereka merupakan orang yang hampir dengan anda. Kerana tindakan ini merupakan dosa di sisi agama, disamping memburukkan imej negara dan Islam yang merupakan agama majoriti rakyat di Malaysia.

Juga buat pihak penguasa, terima kasih atas tindakan yang telah diambil sebelum ini dan diharapkan agar ditingkatkan lagi penguatkuasaan ke atas jenayah yang semakin berleluasa ini. Kerana ia akan memberi kesan buruk kepada negara yang tercinta.

Buat anda yang terlibat dalam isu ini, belum terlambat untuk menarik balik kesalahan ini dan bertaubatlah kepada Allah. Anak itu anugerah Allah, kemuliaannya perlu diletakkan pada tempatnya. Gunakan jalan yang halal dan sah dari segi undang-undang jika anda ingin memelihara anak angkat.

Malaysia: Babies For Sale – 101 East : https://youtu.be/otvWPV_7cK0

ZAINAB HUSNA HUSSEN
Sarjana Usul Fiqh,
Al-Madinah International University (Mediu)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *