Karnival 3K Anjuran ISMA K.Terengganu Dapat Sambutan

19 Ogos 2017, Marang, Terengganu – ISMA Kuala Terengganu (ISMA KT) telah menganjurkan karnival kesihatan, kekeluargaan dan kemasyarakatan (3K) dengan kerjasama Masjid Bukit Payong. Lebih 500 orang pengunjung telah hadir ke karnival ini. Karnival ini telah dirasmikan oleh pegawai agama daerah Marang, Tuan Hj. Zulkefli Othman. Karnival 3k bermula seawal jam 10:30 pagi dan berakhir pada pukul 9 malam. Pelbagai pameran, jualan dan aktiviti telah diadakan sepanjang karnival berlangsung.

Antara pameran yang diadakan adalah daripada agensi Isma KT seperti Wanita Isma, Pemuda Isma, PEMBINA dan agensi-agensi Isma yang lain. Pameran yang diadakan juga turut disertai oleh agensi-agensi lain seperti Aman Palestin, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Kelab Motor Kapcai Berhias.

Pelbagai aktiviti disediakan untuk semua peringkat umur sepanjang karnival. Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat adalah aktiviti kanak-kanak. Aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan mewarna, pertandingan azan dan pertandingan memasak. Kira-kira 100 orang perserta kanak-kanak telah menyertai aktiviti tersebut. Selain itu, demo masakan, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma, klinik Al-Fatihah dan ujian personaliti juga turut diadakan.

Dua sesi ceramah juga diadakan bagi mengisi santapan rohani para pengunjung. Sesi ceramah pertama yang bertajuk “Kuasa Pelukan Ayah Dalam Membina Generasi” telah disampaikan oleh Dr. Hisyam Sharif, merupakan seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia dan penulis buku. Sesi ceramah kedua yang bertajuk “Adakah Malaysia Negara Islam” pula telah disampaikan oleh Ustaz Fauzi Asmuni, merupakan Naib Presiden ISMA Pusat.

“Tujuan utama karnival ini diadakan adalah bagi mendekatkan kembali masyarakat kepada Islam yang syumul dan menghidupkan semula fungsi masjid yang sebenar” berkata Ustaz Dr. Razali Musa, YDP ISMA KT dalam ucapannya dimajlis perasmian.

“Aktiviti seperti ini haruslah diteruskan oleh ISMA bagi menyampaikan mesej-mesej Islam kepada masyarakat” Berkata Tuan Hj. Zukefli Othma dalam ucapan perasmiannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *