Karnival Badminton Wanita Isma Kelantan Meriah

KOTA BHARU, 10 Mei – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kota Bharu telah menganjurkan Karnival Badminton Wanita ISMA 2017 yang bertempat di gelanggang badminton Taman Orkid , Pengkalan Chepa.

Karnival yang julung-julung kali diadakan ini telah dihadiri seramai 40 orang yang terdiri daripada ahli Wanita ISMA Kota Bharu, pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa dan peserta Karnival Lepasan Sekolah (KLS) 2017.

Tujuan karnival ini diadakan adalah untuk menggalakkan para wanita turut serta dalam usaha menuju ke arah kesihatan yang lebih baik dan sekaligus merapatkan hubungan sesama peserta.

Kategori yang dipertandingkan adalah terbuka perseorangan dan beregu yang melibatkan peserta berumur dari 17 tahun hingga 55 tahun. Seramai 13 orang bagi kategori perseorangan dan 8 kumpulan bagi kategori beregu telah menjayakan karnival ini.

Turut diadakan ialah pertandingan permainan tradisional seperti baling selipar melibatkan penyertaan sebanyak 2 kumpulan yang terdiri daripada 8 sehingga 10 orang bagi setiap kumpulan. Permainan ini merupakan antara aktiviti yang berjaya menarik perhatian para peserta yang hadir.

Pendaftaran para peserta dibuka seawal  jam 8.00 pagi dan tepat 8.30 pagi, aktiviti memanaskan badan serta senaman aerobik diteruskan dengan diketuai oleh Noor Suhidayah dan Wan Fathiah.

Pada jam 9.00 pagi, pertandingan badminton dimulakan. Jawatankuasa urusetia yang diketuai oleh Ruqayyah bersama barisan pengadil yang berpengalaman telah berusaha bagi memastikan kelancaran sepanjang pertandingan.

Kategori perseorangan telah dijuarai Nuraina Syakira, pelajar Sains Asasi UITM Dengkil, diikuti tempat kedua oleh saudari Raihanah dan saudari Wan Fathiah bagi tempat ketiga. Manakala bagi kategori beregu pula dijuarai oleh saudari Noor Suhidayah dan Wan Fathiah mengalahkan kumpulan beregu Saudari Aikah dan Siti Amirah.

Seusai pertandingan badminton pada jam 12 tengahari, karnival diteruskan dengan permainan baling selipar dengan kemenangan berpihak pada kumpulan 1 yang diketuai Noranisah binti Roizali.

Karnival ini tamat pada jam 1 tengahari setelah hadiah disampaikan kepada para pemenang. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *