KARNIVAL LEPASAN SPM DUNGUN 2018 MERIAH

DUNGUN, 27 Jan. – Seramai 133 orang peserta yang menyertai karnival lepasan SPM (KLS) 2018 telah dapat mengenali potensi yang ada di dalam diri masing-masing dalam usaha membantu mereka untuk membuat pilihan dalam pelbagai bidang sama ada di pengajian tinggi atau kemahiran teknologi & vokasional.

Saudara Jibrail Fitrah dalam slot “What’s next After SPM” telah membincangkan halatuju selepas sekolah sebagai mukadimah KLS. Selain itu, beliau menyatakan penting untuk individu menjaga pengurusan dan pengisian masa bagi memastikan kehidupan terisi dengan baik. Beliau juga  turut menekankan peserta untuk menjaga keberkatan hidup dengan memelihara agama dan komited dengan amal ma’ruf nahi mungkar.

Jurutera Faisal Redzwan, yang kini berkhidmat di syarikat minyak & gas negara, telah memberi tips untuk menceburi bidang kejuruteraan. Pada pandangannya, kejuruteraan merupakan bidang yang sangat kompetitif dan semakin berkembang terutama dalam era digital dan teknologi yang semakin pesat. Beliau menekankan bahawa subjek teras iaitu matematik dan sains yang perlu dikuasai oleh pemohon di dalam aliran tersebut. Namun begitu minat merupakan elemen yang penting bagi meneruskan pengajian di dalam sesuatu bidang. “Kejar cita-cita anda seperti bayang-bayang yang sentiasa menemani tuannya” jelasnya ketika memberi kata semangat kepada para peserta KLS.

Selain daripada perkongsian tentang bidang kejuruteraan, para peserta juga didedahkan dengan perkongsian kerjaya dari berlainan latar pendidikan termasuk bidang perubatan & kesihatan yang disampaikan oleh Dr Nur Nadia, dan bidang keusahawanan oleh En. Najmuddin, seorang pengusaha resort. Selaku tenaga mahir  yang berjaya dalam bidang masing-masing, mereka telah berkongsi pengalaman yang dilalui sehingga ke tahap semasa dan matlamat kehadapan mereka dalam memberi sumbangan kepada masyarakat & negara. Karnival kemudian diikuti slot peluang pengajian di Politeknik oleh En Mohd Tarmizi.

Setelah itu, para peserta telah dibimbing oleh mentor-mentor di dalam kumpulan bagi penerangan secara terperinci sewaktu slot lawatan ke booth karnival pelbagai bidang pengajian. Dengan itu peserta dapat mengumpul lebih maklumat berkenaan bidang yang diminati termasuk subjek teras, subjek perlukan lebih perhatian, tips-tips mengurus pembelajaran sesuatu bidang, kehidupan di kolej & universiti dan sebagainya.

Slot forum dengan barisan panel yang berpengalaman telah memberikan kata nasihat disamping pengalaman kehidupan sebagai buah tangan kepada para peserta. Saudara Aiman Banna dalam menjelaskan pemilihan kawan “Usaha dalam merubah diri kepada yang lebih baik perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh meninggalkan tabiat buruk dan sentiasa berada dalam “circle” yang baik. Selagi mana kita dikelilingi rakan yang merosakkan maka hasilnya tidak akan kelihatan” ujarnya secara santai.

Pensyarah & guru, En. Khairul Syazwan dari MRSM Imtiaz Ketengah Jaya menyarankan menggunakan pengalaman orang terdahulu sebagai sumber pembelajaran yang lebih pantas. “Ambil pengalaman orang sebelum kita dalam menumpuh kehidupan. Ada yang baik untuk diikuti dan sebaliknya dijadikan sempadan. Namun ramai yang ingin belajar dengan melaluinya sendiri, belajar dari kesilapan. Dengan cara itu agak menyakitkan dalam mengejar matlamat kita”. Ujar beliau.

Dalam pada itu, Ir Nizam, selaku Pengarah KLS 2018 ketika ucapan alu-aluan beliau, memberikan harapan agar para peserta dapat memanfaatkan karnival yang diadakan ini untuk menggali potensi yang ada di dalam diri mereka.

“Saya berharap agar para peserta menggunakan peluang di KLS untuk mencari dan teroka minat. Hal ini kerana laluan hidup ini mempunyai banyak laluan dan pilihan untuk mencapai matlamat kehidupan. InshaaAllah dengan penerokaan ini akan dipermudahkan kita untuk sampai ke sana.” ujar beliau.

Rata-rata para peserta berasa amat gembira kerana dapat hadir ke KLS pada kali ini, seterusnya merasai pengalaman belajar di pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara yang dikongsikan oleh panelis sepanjang program berlangsung.

“Saya sebagai peserta KLS ini berasa bertuah diberi peluang menyertai program ini. Program ini mampu membuka minda saya dalam melangkah kehidupan selepas sekolah. Saya harap segala ilmu yang disampaikan oleh panel dan fasilitator dapat saya manfaatkan dalam kehidupan saya dan dapat membimbing masyarakat untuk berjaya dunia dan akhirat.” ujar Hafizuddin bin Mohamed, bekas pelajar SMKA Kuala Abang.

Manakala Mohd Rifqi bin Saiful Nizam bekas pelajar SMK Tengku Intan Zaharah menyatakan lebih memahami mengenai pilihan yang ditawarkan untuk menyambung pelajaran selepas SPM dan menyarankan rakan-rakan menyertai karnival ini.

“Pada pendapat saya program ini sangat baik (untuk) pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM, kerana ia boleh memberi panduan yang asas bagi pelajar lepasan sekolah untuk memilih kerjaya mereka. Dengan itu saya sarankan remaja-remaja diluar sana (untuk) menyertai karnival lepas sekolah ini jikalau ada di cawangan lain.” katanya

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *