Karnival Sukan Remaja ISMA menepati cita rasa remaja hari ini

kasrim-melaka-2014
AYER KEROH, 11 Jun – “Program-program yang dianjurkan Kelab Remaja ISMA (KRIM) seperti Karnival Sukan Remaja ISMA (KASRIM) menepati cita rasa remaja hari ini” adalah antara pandangan yang dilontarkan oleh peserta KASRIM.

Menurut salah seorang ibu bapa peserta lagi, program untuk remaja sebegini anjuran KRIM mampu menarik minat remaja yang inginkan masa mereka dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Karnival Sukan Remaja ISMA anjuran KRIM Melaka yang menyaksikan perlawanan futsal bagi remaja lelaki dan badminton beregu bagi remaja perempuan ini mendapat sambutan yang menggalakan dengan kehadiran ibu bapa dan ahli-ahli KRIM yang turut memberi sokongan dan memeriahkan suasana.

Dengan semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan yang tinggi, sebanyak 6 kumpulan remaja lelaki dan 3 kumpulan remaja perempuan mengambil bahagian dalam KASRIM pada hari Sabtu yang lalu di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka.

Pertandingan futsal menampilkan peserta kumpulan Thunder Remix, MBSS, Celup FC, F514, Taman Bukit Emas dan Motivasi Lokman Tiger yang hadir dari seluruh Melaka. Pertandingan badminton pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara tiga kumpulan.

Karnival yang bermula pada jam 10 pagi itu diakhiri dengan kemenangan kumpulan F514 yang merangkul kejuaraan futsal dan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM250 beserta pingat emas manakala kumpulan dari Bukit Rambai telah dinobatkan sebagai juara perlawanan badminton dan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM100 beserta pingat emas.

Dengan penganjuran karnival ini, KRIM Melaka berharap agar peserta-peserta dan remaja-remaja secara amnya mendapat kepuasan serta pengajaran untuk saling bekerjasama dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan. Ini kerana cabaran hari ini memerlukan mereka untuk kekal tabah dan berstrategi untuk mencapai kejayaan baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Sebagai satu resolusi, AJK KRIM menawarkan aktiviti riadhah bulanan bagi meraih kemeriahan dan kebersamaan antara ahli penggerak KRIM dan peserta-peserta juga remaja-remaja yang lain supaya ukhuwah yang terbina mampu menyatukan hati-hati ini pada jalan yang diberkati Allah.

Bagi remaja dan ibu bapa yang berminat untuk menyertai program dan pakej yang ditawarkan oleh KRIM di Melaka, maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi Pengarah KRIM Melaka, En Zailani 019-618 9685 atau menerusi page KRIM Melaka iaitu https://www.facebook.com/krimmelaka

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *