Keadilan tidak tertegak dengan mensekularkan negara

“What each individual does, drinks, eats and wears is up to each individual to choose as long as there exists no criminal element. The state must divorce itself from religion. The country must go back to be secular and let religion be the choice of individuals.”
-Ahmad Mustapha Hassan, bekas Setiausaha Akhbar Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Kedua.

Kenyataan di atas ini sangat terpesong tetapi semakin disokong oleh segelintir golongan yang dikatakan “progresif” hari ini.

Ya, keadilan wajib ditegakkan. Namun biarlah ia ditegakkan dengan panduan daripada Tuhan Yang Maha Menciptakan.

Secara zahir, sesetengah orang akan nampak idea negara sekular cukup menarik dan adil (agama dan negara dipisahkan, tetapi masyarakat boleh dan bebas mengamalkan pegangan agama masing-masing di dalam negara), namun hakikatnya, pemikiran ini jauh lari dari kefahaman Islam yang syumul.

Seolah-olah mereka yang memperjuang idea tersebut tidak nampak keindahan kesyumulan Islam yang mencakupi seluruh bidang kehidupan termasuk politik dan negara. Seolah-olah dianggap agama Islam itu seperti agama yang lain, tidak patut dicampur dalam urusan negara seperti mana yang berlaku sebelum zaman renaissance di mana pihak gereja di Eropah sangat kejam, menyeksa rakyatnya sendiri yang tidak sehaluan dengannya.

Adakah pernah kita saksikan dalam sejarah, pemerintahan Islam sangat kejam, sektarian, zalim sedemikian rupa? Sehingga patut menerima nasib yang sama, dipisahkan dari politik dan negara?

Pemikiran liberal dan sekular sebenarnya bukan berbahaya pada orang biasa sahaja, bahkan memberi ancaman kepada golongan agama juga. Lihatlah bagaimana Syeikh Ali Abdur Raziq dengan bukunya “Al-Islam wa Usul al-Hukum” yang diterbitkan sekitar tahun 1925 (tidak lama selepas jatuhnya Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah). Isinya membawa idea pemisahaan agama Islam dari urusan negara.

Lantas ramai ulama bangkit menentangnya. Antaranya Al-`Allamah Al-Mujahid Muhammad Al-Khudhor Hussien, Syeikh Muhammad Tahir Ibn ‘Asyur, Syeikh Dr. Emarah, Himpulan Ulama-Ulama Azhar, dan akhirnya status beliau sebagai Ulama’ Azhar dilucutkan.

Imam Ibnu Qayyim juga pernah mengadu akan kejumudan fuqaha’ pada zamannya (kurun ke-8 Hijrah) yang mendesak pemerintah supaya perbaharui undang-undang negara dengan memisahkan syarak daripadanya.

Syarak membidas idea negara sekular
Hujah utama dan terkuat untuk menentang pemikiran sebegini adalah dari nas-nas syarak itu sendiri (di samping banyak lagi hujah seperti fakta sejarah, tabiat Islam dan lain-lain). Mengikut disiplin ilmu Usul Fiqh, hujah akal walaupun tampak hebat dan adil, serta merta ditolak bila mana bertentangan dengan hujah syara’.

Firman Allah swt dalam Surah An-Nisa’ ayat 58 dan 59:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

Kita dapat lihat tulisan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya yang masyhur “As-Siyasah As-Syar’iyyah fi Islah Ar-Raa’iy wa Ar-Ra’iyah”, semuanya berdasarkan kedua ayat ini.

Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya “Min fiqh Ad-Dawlah fi al-Islam” menyatakan bahawa ayat pertama di atas, merupakan satu perintah yang ditujukan kepada pemimpin/pemerintah supaya mereka amanah dan berhukum dengan adil.

Manakala ayat kedua, perintah ditujukan kepada rakyat mukminin supaya taat kepada pemerintah dengan syarat pemerintah tersebut merupakan dari kalangan mereka (mukmin) selepas diperintahkan supaya mereka taat kepada Allah dan Rasul (Al-Quran dan Sunnah).

Ini menunjukkan memang muslimin perlukan negara islam yang mentadbir dan ditaati. Jika tidak, apa faedahnya Allah perintahkan sedimikian?

Rasulullah saw pula bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak berbai`ah (kepada pemerintah islam), maka matinya Ia dalam jahiliyyah” (Hadith Sahih Muslim, daripada ibn Umar dalam kitab Al-Imarah).

Berkaitan hadith ini, Al-Qardhawi menjelaskan bahawa hukum berbai`ah kepada pemimpin yang tidak beriltizam dengan Islam adalah haram. Maka kita sentiasa dalam keadaan berdosa melainkan setelah berbai’ah kepada pemimpin yang benar-benar beriltizam dengan islam, berhukum dengan Al-Quran dan Sunnah.

Dapat kita fahami, perkara ini tidak dapat dilaksanakan melainkan setelah wujudnya pemerintahan dan negara Islam yang hakiki.

Dan dalam keadaan tiada pemerintahan dan negara Islam yang hakiki seperti sekarang, kita hanya bisa terselamat daripada dosa ini dengan dua perkara:

1) Mengingkarinya, paling kurang dengan hati.
2) Usaha yang gigih untuk meneruskan kehidupan Islami yang benar, berobjektifkan pemerintahan dan negara Islam.

Wajiblah usaha ini dilaksanakan secara berkumpulan (amal jama’ie) kerana kerja bersendirian tidak akan pergi jauh. Perjalanan kita masih jauh, ingin mencapai objektif yang besar dan agung, iaitu pemerintahan dan negara Islam yang hakiki!

Ustaz Ahmad Khairuddin
Setiausaha Biro Dakwah Isma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *