Keahlian ISMA India mencecah 250 orang

isma india 200 orang

BANGI, 9 Jan – Keahlian Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan India kini telah mencecah seramai 250 orang sejak ditubuhkan pada tahun 2010.

Demikian menurut Pengerusi Biro Luar Negara ISMA, Dr Zainur Rashid Zainuddin ketika dihubungi oleh wartawan.

Beliau yang kini dalam sesi lawatan selama seminggu ke sana telah dijemput menjadi penceramah dalam sebuah program iaitu program 3D – Daie, Distinction and Doctor di sebuah masjid di bandar Munipal, India.

Semasa program tersebut, Dr Zainur Rashid telah menegaskan bahawa mahasiswa perlu mempunyai matlamat hidup dan kefahaman yang jelas sekiranya ingin bergerak lebih jauh.

Beliau juga turut berkongsi pengalaman dan pengajaran yang beliau perolehi ketika menjadi doktor dalam misi kemanusiaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Menjadi mahasiswa bukan sekadar belajar dan melepasi peperiksaan, sebaliknya perlu cakna dalam hal ehwal semasa supaya dapat mengetahui masalah masyarakat seterusnya menyelesaikan masalah tersebut,” kata beliau.

Di samping itu, beliau juga menegaskan bahawa mahasiswa perlu sentiasa ke hadapan dalam mendepani isu ummah sejagat termasuk di Malaysia.

“Seorang doktor muslim bukan sekadar merawat sakit tubuh badan sesebuah masyarakat, tetapi perlu juga merawat penyakit hati sesebuah masyarakat,” katanya lagi.

Mohd Haziqq Mohd Isa
Wartawan ISMA