Kecelaruan Mahasiswa Luar Negara: Ke Mana Halatuju Malaysian Night?

 

Alhamdulillah, akhirnya kita sudah berada di bulan Rejab, antara bulan-bulan yang diberkati dan dimuliakan Allah. Umat Islam disunatkan untuk berdoa di bulan ini supaya diberkati dan disampaikan hayat ke bulan Ramadhan. Untuk pengetahuan anda, bulan ini dan bulan lepas juga merupakan bulan yang cukup meriah bagi pelajar Malaysia di United Kingdom dan Ireland kerana banyak universiti menganjurkan Malam Malaysia atau MNight, sebuah program pesta persembahan lakonan, tari-menari dan hiburan yang pada asalnya untuk mempromosikan budaya masyarakat Malaysia. Hampir setiap universiti yang mempunyai populasi pelajar Malaysia yang ramai pasti akan menganjurkan MNight ini.

Walaubagaimanapun, dalam keghairahan kita berseronok elok kiranya kita lihat dan kaji semula akan konsep MNight ini dari perspektif yang sepatutnya.

 

Adakah Betul Kita Mempromosikan Malaysia?

Niat asal MNight tanpa kita bertanya kepada pengasasnya pun kita sudah tahu tujuan utama ialah untuk mempromosikan Malaysia di luar negara terutamanya di United Kingdom dan Ireland.

Tetapi realitinya hari ini sangat menyedihkan. Kebanyakan  MNight yang dianjurkan oleh persatuan pelajar Malaysia tidak lagi mengangkat Bahasa Melayu. Nyanyian-nyanyian berunsur nasihat yang penuh nilai pengajaran orang-orang Melayu lama sudah tidak lagi didendangkan.

Lebih menyedihkan, dikir barat, yang sepatutnya menjadi nyanyian dan hiburan orang Melayu lama untuk menyampaikan mesej moral kepada masyarakat kini bertukar kepada alat untuk mempersendakan universiti lain. Nilai estetika dikir barat itu dengan mudah “dibakul sampahkan” mahasiswa luar negara generasi kita hari ini. Saya merasakan perkara ini sangat menyedihkan.

Hatta, jika kita bercerita soal pergaulan lelaki dan perempuan dalam proses penganjuran program,  masih terdapat isu pergaulan yang melebihi batas yang sepatutnya. Adakah penganjur MNight telah mengambil kita batas syara’ yang perlu dipatuhi oleh pelajar muslim? Bak kata pepatah, tepuk dada tanyalah selera.

Realitinya hari ini MNight hanyalah tinggal sekadar program hiburan untuk menonjolkan bakat seni terpedam. Tidak lain hanyalah   seperti malam minggu penutup program orientasi pelajar Tingkatan Satu. Adakah serendah ini standard’ kita, wahai mahasiswa Malaysia di luar negara sekalian?

Bahkan, dari sudut penonton sekalipun, kita tidak boleh lagi menipu diri sendiri, majoriti penonton ialah pelajar Malaysia juga, maka adakah MNight benar-benar memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat luar?

Kita perlu ingat juga, kos menganjurkan MNight ini menelan belanja yang sangat besar dan adakah pulangannya setimpal sekiranya rata-rata penonton ialah pelajar Malaysia semula?

 

Peranan dan Prioriti Utama

Seharusnya, mahasiswa luar negara perlu lebih cakna akan keperluan dan realiti semasa hari ini. Dengan kadar jenayah kebencian (hate crime) yang semakin mendadak di UK hari ini, adakah persatuan pelajar Malaysia di sini cuba memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah? Berapa banyak pelajar kita atau persatuan pelajar Malaysia terlibat dalam usaha dakwah memulihkan imej muslim kepada masyarakat setempat? Berapa banyak aktiviti volunteerism pernah pelajar kita lakukan untuk memperkenalkan Islam kepada masyarakat setempat? Janganlah kita tipu diri sendiri.

Kredit seharusnya diberikan kepada persatuan yang mempunyai inisitif ini. Walaubagaimanapun, adakah ini dijadikan agenda utama mereka? Sekiranya dilihat pada bajet yang diperuntukkan kepada Mnight, kita sudah tahu persatuan pelajar kita tidak berminat dalam isu Islamophobia ini.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu kempen sulit yang dijalankan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan risalah”Punish A Muslim Day” yang dijangka akan dijalankan pada bulan April. Seharusnya isu ini sepatutnya membuka mata kita semula bahawa usaha dakwah kepada non-Muslim di UK perlu juga dibantu oleh kita sebagai pelajar Muslim Malaysia di sini. Kita seharunya menjadi sebahagian daripada solusi bukan menambah masalah.

 

Pemuda-pemuda pejuang yang sudah hilang

Sekiranya kita rajin untuk bergaul dengan pakcik-pakcik Somali atau Pakistan di masjid-masjid di seluruh UK, sudah pasti kita akan mendengar pujian-pujian mereka terhadap pelajar Malaysia dahulu yang bertungkus lumus membina masyarakat Muslim di seluruh UK dan Ireland. Ada sebahagian pelajar kita malah menjadi generasi awal dalam menubuhkan masjid setempat. MasyaAllah hebat rupanya pelajar Malaysia!

Namun, pakcik-pakcik ini juga pasti akan menyambung bait ayat dengan meluahkan rasa kesal, sedih, dan kecewa terhadap generasi pemuda Melayu hari ini yang tidak lagi memenuhkan masjid atau berminat untuk berkomuniti. Di mana salahnya kita?

Sekadar pengetahuan saya yang agak terbatas, saya amat tertarik kepada kisah Dr. Zainur Rashid, pelajar lepasan Royal College of Surgeon, Republic of Ireland sekitar tahun 80an. Dr. Zainur Rashid merupakan generasi awal penubuhan Dublin Mosque dan pernah dijemput menyampaikan khutbah Jumaat di situ. Saya yakin banyak lagi individu-individu lain seperti beliau di seluruh UK dan Ireland yang bersemangat membangunkan komuniti Muslim dahulu. Masakan tidak pelajar-pelajar kita dahulu kala menjadi buah mulut puji-pujian rata-rata Muslim di sini .

Sedarlah! Komuniti muslim di sini mendambakan kehangatan kehadiran kita sebagai duta Muslim dari Malaysia.

 

Konklusi

Belum terlambat, untuk kita kembali semula ke jalan yang benar dan rangka semua strategi kita sebagai pelajar. Utamakan dahulu keperluan yang mendesak. Janganlah kita terpengaruh dengan budaya dan cara pemikiran masyarakat Barat yang langsung tidak menguntungkan Islam. Ambillah pengajaran daripada sifat orang Muhajirin yang berhijrah ke Madinah atas satu tujuan dan matlamat hidup yang jelas iaitu untuk berjuang dan mati dalam Islam.

Ingatlah, manusia terbaik adalah yang bermanfaat kepada yang lain.

Salam ukhwah.

 

Muhammad Thalhah Bin Kamarol Zaman

Ketua Biro Komunikasi dan Media ISMA Eropah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *