Kecemerlangan akademik tidak bermakna tanpa kecemerlangan sahsiah

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes seorang penuntut IPTA di Johor Bahru yang dilepaskan daripada hukuman penjara kerana beliau seorang yang cemerlang dalam pelajarannya. Sebagai ganti, pelajar tersebut dikenakan bon berkelakuan baik selama 3 tahun bercagaran RM 8,000 dengan seorang penjamin.

Hukuman itu dijatuhkan ke atas penuntut itu atas kesalahannya menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya pada November tahun lalu. Yang menyedihkan ialah, bayi yang dilahirkan akhirnya meninggal dunia akibat dibuang begitu sahaja.

Pihak Majistret dalam kes ini memberikan keputusan sedemikian kerana berpendapat hukuman penjara terhadap penuntut 21 tahun itu akan menutup peluangnya untuk berubah.

Beliau berkata mahkamah juga membuat keputusan itu selepas mengambil kira kepentingan awam, rayuan tertuduh serta laporan akhlak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Majistret juga berpendapat pelajar tersebut merupakan pelajar yang cemerlang kerana beliau memperoleh purata nilai gred 3.87 walaupun sedang hamil.

Jika dikaji dari sudut ‘precedent case’, kes yang seakan sama telah dilaporkan di akhbar BH Online bertarikh 4 Disember 2014, dimana seorang pelajar kolej yang berumur 19 tahun telah dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan kerana menyembunyikan kelahiran bayinya.

Jadi, aspek manakah yang membezakan kedua-dua kes ini sehingga hukumannya berbeza? Adakah perbezaannya terletak pada faktor kecemerlangan atau nilai CGPA semata-mata?

Mahasiswa merupakan aset terpenting dalam sesebuah negara kerana merekalah yang bakal mencorakkan masa depan. Mahasiswa yang cemerlang tidak seharusnya hanya didefinisi berdasarkan jumlah gred mahupun ‘pointer’ yang diperolehi, tetapi harus juga dinilai dari sudut kecemerlangan sahsiah. Kemampuan mahasiswa mengimbangi kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah yang dituntut oleh agama dan nilai-nilai mulia dalam masyarakatlah yang akan menentukan halatuju dan masa depan negara.

Amat mendukacitakan apabila mahasiswa menunjukkan prestasi yang amat tinggi dalam pencapaian akademik, tetapi tidak mampu untuk menggunakan potensi diri yang ada dalam membentuk sahsiah yang cemerlang sehingga terjebak dalam kancah penzinaan, seterusnya membuang bayi yang tidak berdosa dan mengakibatkan kematiannya.

Adalah sesuatu yang amat tidak wajar jika nilaian kecemerlangan itu hanya diukur melalui kemampuan kognitif sahaja, sedangkan untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan dan menjadi ahli masyarakat yang berguna, seseorang mahasiswa itu perlu memiliki tahap rasional yang tinggi, selain disiplin, kekuatan sahsiah dan akhlak yang mulia.

Meskipun kita seharusnya memberikan ruang dan peluang kepada sesiapa sahaja yang tersilap langkah untuk menginsafi perbuatannya dan bertaubat, namun langkah pencegahan yang berkesan amat perlu diambil kerana semakin hari kes seperti ini semakin kerap kedengaran. Selain itu, hukuman yang dijatuhkan terhadap pesalah juga seharusnya benar-benar dapat memberikan pengajaran kepadanya dan juga kepada mahasiswa serta ahli masyarakat yang lainnya, agar kesalahan yang sama tidak diulangi.

Keduanya, adakah wajar kes seperti ini diadili hanya dengan memberi bon kelakuan baik sedangkan satu nyawa yang tidak berdosa telah menjadi mangsa tindakannya yang bukan sahaja tidak cemerlang, tetapi jahil dan kejam? Tidakkah ini juga secara tidak langsung akan memberi ‘lampu hijau’ kepada mahasiswa yang lain? Kesalahan apa pun dilakukan tidak menjadi masalah kerana mereka boleh mendapat keringanan asalkan mereka cemerlang dalam pelajaran?

Falsafah pendidikan negara menekankan matlamat menjadikan pendidikan sebagai asas pembangunan negara dari sudut pembangunan yang seimbang antara material, emosi, jasmani serta intelektualisme. Bagaimanakah mahasiswa yang terlibat dalam masalah sosial begini dapat mencapai keseimbangan dalam aspek yang lain, meskipun nilai intelektualismenya tinggi?

Tidak dapat dinafikan, pelbagai usaha telah dibuat, termasuk memperkenalkan modul program pembangunan sahsiah pelajar di institusi pengajian tinggi tetapi masih lagi kita dikejutkan dengan berita-berita kehamilan luar nikah para mahasiswa, kes buang bayi, serta pelbagai lagi kes-kes salahlaku. Apakah modul itu tidak berkesan, atau tidak mampu dihayati oleh para mahasiswa? Ataukah kerana budaya aktivisma mahasiswa yang masih banyak bertumpu kepada hiburan dan gaya hidup hedonisme yang tidak membantu proses pembangunan sahsiah?

Sebagai kesimpulan, kes ini wajar memberikan suatu tekanan kepada pihak kerajaan, swasta dan NGO supaya sama-sama dapat mencari penyelesaian yang berkesan dalam membanteras isu ini selain memberikan ‘nafas baru’ kepada sistem pendidikan negara agar dapat menitikberatkan aspek pembangunan sahsiah dan penghayatan agama dan nilai-nilai moral di kalangan pelajar. Ini perlu seiring dengan membendung gejala dan pengaruh negatif daripada menular di kalangan pelajar. Kecemerlangan di sudut sahsiah tentunya akan melahirkan para pelajar yang juga cemerlang dari sudut akademik dan mempunyai potensi yang besar dalam membangunkan negara kelak.

Rujukan:
1. http://www.hmetro.com.my/node/196954
2. http://www.bharian.com.my/node/21526?m=1

Dr Madihah Rushaidhi,
Timbalan Ketua Biro Wanita ISMA Johor Bahru

Dr Nur Farrah Nadia Bt Najib,
Ketua Biro Penerangan ISMA Johor Bahru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *