Kehadiran Ramadhan Al-Mubarak

Menginsafi Kehadiran Ramadhan Al-Mubarak

Ramadhan sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan, rahmat dan sebagainya. Bermacam-macam lagi kelebihan dan hikmah yang akan diperolehi, namun ia tidak akan dapat dikecapi kecuali dengan mengetahui hakikat penciptaan manusia.

Siapakah manusia? Adakah manusia hanya suatu kerangka badan yang tegak berdiri dan bergerak ke sana dan ke mari. Kalaulah begitu, manusia ini tiada bezanya dengan haiwan. Mungkin ada haiwan yang lebih tinggi kedudukannya daripada manusia.

Pada hakikatnya ia adalah roh yang diturunkan oleh Allah untuk diletakkan pada jisim atau kerangka yang ada pada bumi. Kerana roh inilah manusia sanggup menjadi khalifah Allah (mentadbir alam ini). Kerana roh ini jugalah Allah memerintahkan Malaikat supaya sujud kepada Adam yang merupakan insan pertama di bumi ini. Kemuliaan Adam bukanlah kerana dicipta dari tanah liat tetapi kerana roh yang ditiup kepadanya.

Itulah manusia, jasadnya dari bumi, rohnya dari langit.

Jasad bagaikan rumah manakala roh bagaikan penghuninya.

Rumah dibina untuk didiami oleh penghuninya.

Pelik jika kita hanya menjaga rumah tetapi lupa mengambil berat penghuni yang mendiaminya.

Jasad mengambil bekalan dari bumi..

Ruh mahukan bekalan dari langit…

agar dapat ditingkatkan dan ditinggikan,

mampu membebaskan diri daripada tekanan nafsu dan tahanan jasad

serta menang ketika bertarung dengan runtunan nafsu.

Menahan diri daripada makan minum dan nafsu dengan niat menghampiri diri dengan Allah adalah suatu amalan yang mempunyai nilai yang sangat istimewa di sisi Allah. Marilah kita menginsafi bahawa kita sangat berhajat dan membutuhkan kepada bulan barakah Ramadhan Al-Mubarak kerana padanya terbentang ruang dan peluang untuk menambahkan ketaqwaan.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”. (QS Al-Baqarah : 183)

Apakah Persiapan Kita?

Bersegeralah kepada keampunan Tuhanmu…

Dosa menjauhkan hamba dengan Tuhannya, justeru meninggalkanya adalah satu kewajipan…

Manusia tidak sunyi dari melakukan dosa,

Jika tiada maksiat yang datang dari anggota badannya mungkin maksiat datang dari hatinya yang berazam melakukannya,

Kalau bukan dari hatinya mungkin datang dari perasaannya yang dicetuskan oleh syaitan yang senantiasa cuba untuk mengelirukan dan melalaikannya dari mengingati Allah,

Jika tidak dari perasaannya mungkin datang dari kecuaian dan kealpaannya..

Semua perkara tersebut adalah kekurangan..tiada seorang yang mampu selamat darinya,

Oleh itu, bertaubatlah kamu sekalian wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang orang yang bertaubat dan sentiasa menyucikan diri”.

Ustazah Norhayati Ahmad Salleh

Ketua Wanita Isma Kuantan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *